Seorang ibu tunggal enam anak buntu memikirkan nasib diri dan anak-anak selepas diarahkan berpindah oleh tuan tanah dari kediamannya di Kampung Pandan berhadapan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, di sini.
Rosfaezah Redzuan, 36, berkata, tuan tanah berkenaan hanya memberinya masa sebulan untuk berpindah sedangkan dia tidak mempunyai tempat tinggal lain untuk berteduh.
“Perkara ini terjadi selepas ibu saya meninggal dunia sekitar September tahun lepas, kami didatangi beberapa pegawai membuat pengukuran tanah. Pada awal tahun kami sekeluarga diarahkan berpindah dan perlu mengosongkan rumah sehingga tempoh hari ini (semalam).
“Saya difahamkan kawasan ini telah diserahkan kepada pemaju perumahan dan saya dapat tahu hanya saya sahaja diarahkan keluar sedangkan orang lain di sekitar ini tidak terjejas.
“Masa itu saya amat tertekan sebab nak uruskan persekolahan lima anak termasuk seorang daripadanya kurang upaya,” katanya yang sudah 30 tahun menetap di kawasan berkenaan.
Menurutnya, dengan masa yang suntuk dan kekangan kewangan, pelbagai perkara perlu dititikberatkan untuk berpindah dalam tempoh sebulan.
“Saya dapat rumah sewa di Batu 5 berhampiran Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah. Saya perlu bayar RM250 sebulan, kalau ikutkan memang tak mampu," katanya.
Sementara itu, kesusahan yang dialami Rosfaezah mendapat perhatian Rela Kuantan.
Penolong Pesuruhjaya Rela, Jannah Ismail berkata, memandangkan Rosfaezah merupakan ahli Rela yang aktif, segala urusan perpindahan ke rumah sementara dibantu oleh pasukannya.
“Dalam usaha membantu nasib ahli kurang bernasib baik, menerusi Tabung Amal Jariah Rela kami hulurkan sagu hati perlindungan kemalangan diri berkelompok atau wang khairat kematian sebanyak RM5,000 di samping wang bantuan daripada ahli sebanyak RM800.
“Selepas kematian ibunya, Rosfaezah sekali gus tidak mempunyai pendapatan, jadi bermula Januari lepas Rela Kuantan memberikannya peluang pekerjaan iaitu sebagai pengawal keselamatan di Masjid Hentian Putera,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor