Pages

Wednesday, February 3, 2016

[KUANTAN] HARGA BARANG BASAH MASIH TERKAWAL


Harga barang basah masih terkawal


Peniaga barang basah di beberapa pasar di Kuantan yakin bekalan barangan semasa musim sambutan Tahun Baharu Cina tidak terjejas.

Tinjauan Sinar Harian di pasar di sekitar Taman Tas dan Berserah mendapati harga barangan basah masih terkawal walaupun menerima permintaan agak tinggi dalam kalangan pengguna.

Peniaga ayam, Rohaili Mohd Ali, 56, berkata, setakat ini berlaku kenaikan harga namun ayam masih dijual pada harga berpatutan.

“Saya akui setiap kali menjelang musim perayaan semua barang basah akan naik tapi setakat ini saya masih kekalkan harga ayam sekitar RM6.50 sehingga RM7 sekilogram.

“Harga ayam sekarang ini masih harga patut dan kita sebagai peniagaan mengikut apa yang ditetapkan kerajaan menerusi skim kawalan harga pada musim perayaan walaupun berdepan dengan masalah harga turun naik.

“Kita patuhi skim itu dan tidak meletakkan harga terlampau tinggi kepada pengguna sehingga membebankan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, dia mengharapkan agar bekalan ayam mencukupi sehingga perayaan Tahun Baharu Cina nanti.

Bagi peniaga ikan, Ibrahim Uda, 60, setakat ini kebanyakan ikan dijual pada harga biasa, sebagai contoh, ikan selayang dijual RM6 sekilogram manakala cencaru, selar dan kembung dijual RM7 sekilogram.

“Sebelum ini, harga ikan selayang mencecah RM8 sekilogram manakala cencaru dan kembung RM10 sekilogram.

“Harga boleh diturunkan apabila berlaku lambakan ikan di pasar-pasar kerana ikan tak boleh disimpan lama, peniaga perlu menjualnya untuk membolehkan mereka mendapat bekalan baru,” katanya.

Dalam pada itu katanya, peniaga amat berhati-hati untuk menaikkan harga kerana pengguna tidak akan membeli ikan jika keterlaluan.

“Sekiranya tiada pembeli, peniaga terpaksa juga menjual ikan dengan harga lebih murah pada keesokannya bagi mengelak kerugian,” katanya.

Sementara itu, peniaga sayur-sayuran, Mohd Hisham Md Yasin, 39, tiada akan menaikkan harga sayur yang dijualnya.

“Setakat ini harga sayur masih lagi patut dan kita tidak akan menaikkan harga walapun dapat permintaan tinggi daripada pengguna setiap kali musim perayaan,” katanya.

Menurutnya, walaupun perayaan Tahun Baharu Cina akan dirayakan Isnin depan, namun bekalan sayuran di gerai jualannya masih mencukupi.

“Setiap tahun pembekal akan menyediakan bekalan secukupnya dan tawaran harga yang diberikan masih dalam lingkungan harga kawalan.

“Saya tak pernah naikkan harga sesuka hati, sebaliknya mematuhi harga yang ditetapkan,” katanya.

Seorang lagi peniaga sayur, Mah Hassan, 56, berkata, setiap kali musim perayaan dia akan memastikan bekalannya mencukupi kerana pelanggan yang mengunjungi gerai jualannya pelbagai latar belakang.

“Saya dan pembekal sudah terbiasa dengan situasi panik yang akan berlaku setiap kali musim perayaan. Saya akan sediakan bekalan yang cukup dan mampu menampung permintaan pelanggan,” katanya.

Menurut Mah, harga barang keperluan tidak menentu kerana dipengaruhi faktor iklim, kesegaran dan harga yang ditawarkan pembekal.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor