Pages

Friday, February 19, 2016

[KUANTAN] BILIK PERKAKASAN ELEKTRIK HOSPITAL PAKAR MUIP TERBAKAR


Bilik perkakasan elektrik Hospital Pakar MUIP terbakar


Anggota bomba terpaksa mengeluarkan 11 pesakit termasuk lima bayi selain mengarahkan semua kakitangan Hospital Pakar MUIP, Jalan Gambut di sini keluar ke tempat selamat selepas sebuah bilik perkakasan elektrik hospital itu terbakar, malam tadi.

Dalam kebakaran kira-kira jam 10.50 malam itu, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku bagaimanapun pesakit dilaporkan terpaksa dipindahkan ke beberapa buah hospital berhampiran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Timbalan Penguasa Bomba Kamerul Bieza Mohamed Kassim, berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10.56 malam sebelum 12 anggota termasuk dua pegawai bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dikerahkan ke lokasi untuk operasi mengawal dan memadam kebakaran.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, pihaknya terlebih dahulu bertindak mengeluarkan 11 pesakit termasuk lima bayi serta 25 kakitangan hospital ke tempat selamat selepas melihat asap keluar dari tingkat satu.

“Pemeriksaan mendapati sebuah bilik perkakasan elektrik di bangunan itu terbakar bagaimanapun api dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya daripada merebak ke bahagian lain.

“Operasi pemadaman ditamatkan jam 11.17 malam dan kita berjaya menyelamatkan keseluruhan bangunan daripada musnah terbakar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, malam tadi.

Kamerul Bieza berkata, punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor