Seramai 39 lelaki disyaki penagih dadah yang sedang melepaskan gian di bawah Jambatan Tanah Putih, Jalan Kuantan- Gambang di sini ditahan dalam Ops Sarang, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Aziz Ahmad berkata, ketika operasi pada kira-kira jam 4 pagi itu, polis turut menahan seorang lelaki yang disyaki memiliki heroin seberat 0.03 gram di lokasi sama.
“Kesemua mereka yang ditahan dalam lingkungan umur antara 24 hingga 54 tahun dan didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian air kencing dijalankan terhadap mereka.
“Seorang suspek berusia 28 tahun, turut membawa anaknya berusia lima tahun ke khemah di bawah jambatan yang dijadikan tempat penagihan dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Ops Sarang di Jambatan Tanah Putih di sini, awal pagi semalam.
Aziz berkata, seramai 39 individu yang ditahan terbabit berkemungkinan akan didakwa di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lelaki pula didakwa mengikut Seksyen 12 (3) Akra Dadah Berbahaya 1952 selepas polis melakukan siasatan lanjut.
Menurutnya, operasi diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuantan, Deputi Superintendan (DSP) Wan Zulkifly Sahabaludin itu melibatkan seramai 10 anggota.
“Operasi ini turut melibatkan lapan anggota daripada bahagian siasatan jenayah daerah Kuantan dan Balai Polis Kuantan serta empat anggota daripada Pasukan Gerakan Marin,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberapa motosikal untuk pemeriksaan lanjut sekiranya terlibat dengan kegiatan curi motosikal.
Menurutnya, kesemua suspek ditahan di lokap Balai Polis Kuantan.
Dalam pada itu, Aziz berkata, pihaknya sentiasa membuat pemantauan bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di kawasan Tanah Putih dari semasa ke semasa.
“Ini salah satu cara untuk kita menangani masalah penagihan dadah dalam kalangan masyarakat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor