Ledang - Sebuah pusat pemindahan banjir dibuka di daerah ini berikutan paras air yang kian meningkat di dua kampung terlibat selepas hujan lebat sejak petang semalam.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ledang Suhaila Omar berkata seramai 55 orang penduduk melibatkan 11 keluarga dari Kampung Seberang Gajah dan Kampung Sialang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan Sialang, di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan tersebut selepas air tiba-tiba membanjiri rumah mereka pada pukul enam petang tadi.
"Kesemua mangsa, termasuk bayi dua bulan sehingga mangsa berumur 75 tahun dalam keadaan baik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata keputusan untuk memindahkan mangsa diambil kerana bimbang akan keselamatan mereka apabila paras air semakin meningkat setelah hujan turun sejak petang semalam.
Suhaila berkata segala kelengkapan buat mangsa banjir telah disediakan dan perpindahan mereka turut dibantu pelbagai pihak termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Pejabat Kesihatan Daerah.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor