Pages

Saturday, February 6, 2016

[JERANTUT] OKU DERITA KANSER PAYUDARA


OKU derita kanser payudara


Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, seorang gadis OKU bukan sahaja tidak mampu berjalan, malah disahkan menghidap kanser payudara sejak awal tahun lalu.

Maizatulakmar Ab Halim, 22, yang menetap bersama ibu bapanya di Kampung Chengkuak, di sini menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di payudaranya pada awal bulan lalu.

Anak bongsu daripada 10 beradik itu tidak boleh bercakap seperti remaja normal lain dan pergerakannya juga terbatas kerana terpaksa dipimpin walaupun ke bilik mandi.

Ibunya, Maimunah Waria, 60, berkata, dia menyedari Maizatulakmar menghidap kanser ketika sedang memandikan anaknya itu.

“Saya lihat payudara sebelah kirinya bengkak dan terus saya bawa dia ke klinik untuk pemeriksaan dan Maizatulakmar disahkan hidap kanser payudara tahap tiga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini.

Menurutnya, selepas beberapa bulan menerima rawatan susulan, Maizatulakmar selamat dibedah tetapi luka di payudaranya perlu diberi perhatian.

“Sejak lepas bedah, sayalah yang akan cuci luka di tempat sakitnya itu. Doktor dan jururawat sudah ajar, jadi tiada masalah,” katanya.


Diserang demam panas

Bercerita mengenai kecacatan dialami Maizatulakmar, Maimunah berkata, anak perempuannya itu dilahirkan normal sebelum disahkan hilang upaya ketika berusia 10 tahun selepas diserang demam panas.

Katanya, ketika di tadika, Maizatulakmar diserang demam dan sejak itu dia sering demam serta pengsan.

Maimunah berkata, keadaan anaknya itu menjadi semakin teruk sehingga dia darjah lima.

Katanya, bagaimanapun, Maizatulakmar masih aktif dan bersekolah ketika itu sehingga tingkatan lima.

“Keadaannya bertambah teruk apabila dia pengsan dan terjatuh di tangga sekolah sehingga kepalanya tersekat di celah besi tangga dan terpaksa dikeluarkan dengan memotong besi itu.

“Selepas kejadian itu, dia selalu diserang sawan dan demam teruk,” katanya.

Menurutnya, doktor memeriksa Maizatulakmar di rumah dan menyarankan supaya gadis itu dihantar ke Hospital Mentakab sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Anak saya tidak sedarkan diri dan koma selama sebulan. Lebih menyedihkan apabila doktor memaklumkan saraf otaknya putus dan tidak lagi boleh bercakap dan berjalan seperti biasa,” katanya.

Maimunah berkata, sebagai ibu, walaupun sedih dia reda dengan ketentuan ALLAH SWT.

“Dia tidak lagi ke sekolah sedangkan guru-gurunya dahulu memberitahu Maizatulakmar seorang yang pandai dan sangat mudah ingat setiap kali gurunya mengajar," katanya.

Wanita itu berkata, doktor menyarankan supaya anaknya diberikan beberapa keping wang kertas sebagai satu bentuk terapi agar otaknya dan jari-jemarinya sentiasa bergerak.

“Dia boleh mengira. Dia tahu jika wang kertasnya tidak cukup 20 keping. Dia akan marah dengan mengeluarkan bunyi yang kuat.

“Terapi ini memang berkesan kerana saya lihat jari jemarinya juga dapat memegang sesuatu dengan baik. Jadi disebabkan itu saya bagi dia duit ini. Dia tidak kisah warna apa sekali pun asalkan cukup 20 keping,” katanya.


Ditipu kontraktor pembinaan

Disebabkan kerap diserang sawan, Maizatulakmar kini bergantung kepada ubat sawan yang diberikan oleh doktor.

“Selain itu, dia juga bergantung kepada ubat-ubatan lain yang diberikan secara percuma oleh pihak hospital kerana dia ini anak istimewa.

“Sekarang dia tak boleh lagi makan seperti biasa dan hanya bergantung kepada susu formula khas dibeli di farmasi yang berharga RM50. Setin susu ini cuma bertahan untuk seminggu,” katanya.

Menurutnya, anaknya juga turut menggunakan lampin pakai buang memandangkan dia tidak lagi boleh bercakap jika mahu membuang air besar dan kecil selain perlu dipimpin setiap kali hendak ke tandas.

“Dalam seminggu, kira-kira RM100 juga terpaksa dibelanjakan untuk keperluannya sahaja. Itu tidak termasuk kos membawanya berjumpa doktor pakar di Temerloh atau Kuala Lumpur.

“Suami saya kerja kampung, anak-anak lain pula sudah berkeluarga dan kerja biasa saja. Anak-anak ada bantu, makan dan pakai kami suami isteri cukup, cuma saya harap dapat bantuan tampung kos keperluan Maizatulakmar,” katanya.

Lebih malang, suami Maimunah, Ab Halim Ismail, 65, ditipu kontraktor pembinaan yang melarikan sebahagian wang pinjamannya sebelum menyiapkan rumah.

Harapan keluarga itu tinggal di rumah baharu menerusi projek Skim Pinjaman Perumahan Untuk Golongan Berpendapatan Rendah bernilai RM45,000 tidak kesampaian.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Bank Islam, 06055020113991.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor