Rafflesia atau bunga pakma kini menjadi daya tarikan baharu agropelancongan di Kampung Ulu Cheka.
Timbalan Pengerusi Pelancongan Kampung Ulu Cheka, Saiful Alias, 32, berkata, spesies bunga terbesar di dunia itu kini boleh dijumpai di beberapa tempat di kawasan hutan berhampiran kaki Gunung Benum.
Menurutnya, peminat bunga itu tidak perlu lagi pergi ke Sabah atau Sarawak untuk melihatnya kerana bunga itu kini boleh ditemui di kampung itu.
”Bunga pakma jenis rafflesia cantleyi ini hidup subur dan mekar tanpa sebarang gangguan dan lebar kelopaknya boleh membesar sehingga 0.3 meter (satu kaki).
“Walaupun rafflesia di sini tidak sebesar seperti di Sabah dan Sarawak, namun bagi yang tidak pernah melihat bunga ini secara lebih dekat, mereka boleh datang ke sini,” katanya.
Saiful berkata, bunga itu hidup di kawasan berhampiran air dan bersuhu sejuk.
“Ia tumbuh di kawasan tengah hutan. Jadi, untuk melihatnya, orang ramai perlu berjalan kaki dengan masa perjalanan antara satu atau dua jam,” katanya.
Dia berkata, bunga terbabit kini sedang berkembang dan tempoh kembangnya sehingga seminggu.
“Memandangkan ia hanya akan kembang dalam tempoh seminggu, kami akan mengehadkan bilangan kemasukan pengunjung yang ingin melihat bunga terbabit.
“Langkah ini bertujuan mengelak tumbesaran anak-anak pokok bunga yang lain terganggu atau terbantut supaya keunikan bunga ini dapat dinikmati pengunjung lain,” katanya.
Menurutnya, bagi pengunjung yang ingin melihat bunga berkenaan, pihak Agropelancongan Ulu Cheka menyediakan pakej pelancongan yang mana pemandu arah terlatih akan membawa mereka ke kawasan bunga terbabit tumbuh.
“Pakej itu didatangkan sekali dengan pakej percutian semula jadi yang mana kami juga menyediakan pakej inap desa, kunjungan ke Air Terjun Berembun dan mendaki Gunung Benum,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor