"Bukan saya yang beri percuma. Saya tak mampu buat macam tu. Perniagaan saya pun tak berapa memberangsangkan. Mujurlah gerai ini diberi pihak majlis daerah secara percuma."
Itu reaksi peniaga nasi lemak yang juga orang kurang upaya (OKU) Arsyad Mohd Nor, 52, ketika menjawab gembar-gembur orang ramai yang mendakwa dia memberi makanan secara percuma di gerainya.
Arsyad atau lebih dikenali sebagai Abang Lie memberitahu, dua ahli korporat telah membantunya membeli nasi lemaknya dan diedarkan secara percuma kepada orang ramai.
Dua individu terbabit membeli antara 40 hingga 50 bungkus nasi lemak sehari pada harga RM1.50 sebungkus.
Namun katanya, usaha murni dua insan itu memborong nasi lemaknya untuk diagihkan kepada orang ramai telah menimbulkan salah faham.
“Dua ahli korporat ini ikhlas membantu ringankan beban saya sebab itu mereka tak mahu dedahkan diri,” katanya.
Arsyad tidak menolak, kasihan melihat keadaannya yang serba kekurangan punca dua individu itu tampil membantu.
Menurutnya, mereka membeli nasi lemaknya setiap hari bergantung kepada jumlah yang mampu disediakan dan hasil bantuan itu memberi jaminan pendapatannya kira-kira RM60 sehari.
"Secara tak langsung nasi lemak percuma itu juga membantu mereka yang tak berkemampuan makan di kedai saya ini,” katanya yang cacat kaki kanan sejak 19 tahun lalu akibat penyakit misteri.
Menurut Arsyad, dua ahli korporat itu juga mungkin mengupahnya menyediakan hidangan makan tengah hari percuma selepas ini.
“Semua itu masih dalam perancangan mereka, jadi saya tak tahu keputusannya,” katanya.
Pekerja tak kisah gaji tertunggak
Gerai makan yang diusahakan Arsyad di stesen teksi berhadapan Bank Islam di bandar ini, turut dibantu anak saudaranya, Mohd Nordin Mohsin, 23, dan seorang pekerja dari Sabah, Syahidatul Ribbeqa Zulkifli, 24.
Syahidatul berkata, dia datang ke Jerantut untuk mencari pekerjaan dan bekerja dengan Arsyad selepas diperkenalkan seorang rakan.
Menurutnya, gaji diterima tidak menentu sehingga ada ketikanya tertunggak namun dia faham situasi dihadapi majikannya itu.
“Saya tak kisah kerana niat untuk membantunya. Kebetulan saya masih belum ada pekerjaan lain, jadi buat sementara ini, saya tolongnya di gerai ini,” katanya.
Kesulitan hidup dilalui Arsyad pernah disiarkan Sinar Harian 19 Oktober tahun lalu apabila dia tampil memohon bantuan orang ramai bagi meringankan bebannya yang berdepan masalah rumah.
Ketika itu, dia menyewa sebuah rumah di Taman Mutiara dengan bayaran RM200 sebulan menggunakan sebahagian wang hasil bantuan diterima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan.
Kisah hidup dapat perhatian
“Kisah saya yang disiarkan Sinar Harian turut mendapat perhatian media lain apabila ada wakil TV yang datang jumpa. Tapi sampai sekarang, masih belum ada pihak tampil membantu mendapatkan sebuah rumah untuk saya berteduh.
“Saya dengar ada pihak hendak tempatkan saya di Rumpun Makmur, tapi saya tak mahu kerana terlalu jauh dari bandar. Tambahan pula saya seorang OKU yang tinggal bersendirian,” katanya.
Menurut Arsyad, sekiranya tiada rumah yang boleh diberikan, dia berharap ada pihak membantunya meringankan beban dengan membayar sewa rumah.
“Tak dapat rumah, dapat orang tolong bayarkan sewa rumah pun sudah memadai. Jika hanya harapkan duit JKM, memang tak cukup, nak makan pun saya terpaksa minta dengan orang ramai,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban Arsyad boleh salurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0610529000082582 atau hubunginya menerusi talian 010-9889681.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor