Pages

Thursday, January 14, 2016

TUDM TERIMA SECARA RESMI PESAWAT A400M KEDUA

Hishammuddin TUN HUSSEIN menunjukkan isyarat bagus dalam majlis



KUALA LUMPUR 13 Jan. - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menerima secara rasmi pesawat pengangkut termoden keluaran Airbus, A400M keduanya daripada keseluruhan empat buah yang dibeli kerajaan.

Serentak dengan penerimaan tersebut, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengulangi jaminan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi jika kedaulatan negara cuba digugat oleh mana-mana pihak.

Katanya, kerajaan akan sentiasa memastikan kelengkapan persenjataan serta tahap kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada di tahap terbaik walaupun ketika persekitaran ekonomi global dalam keadaan tidak menentu.

“Apabila kedaulatan negara menjadi pertimbangan, kita tidak akan sesekali berkompromi,” tegasnya ketika berucap pada majlis penerimaan A400M dan perasmian hangar Skuadron 22 yang akan menempatkan pesawat itu di Pangkalan Udara TUDM Subang di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Mohd. Johari Baharum; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Roslan Saad dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Sempena majlis penerimaan pesawat tersebut, Hishammuddin, tetamu kehormat dan kira-kira 40 pengamal media tempatan dibawa menaiki A400M selama 45 minit bagi membolehkan mereka merasai sendiri kecanggihan aset terbaharu TUDM itu.

Sementara itu, dalam sidang akhbarnya pula, Hishammuddin menjelaskan, Malaysia akan terus menggunakan saluran diplomasi dalam menyalurkan kebimbangan negara ini mengenai tindak-tanduk ketenteraan China ke gugusan kepulauan Spratly.

“Asalkan mereka tidak mema­suki perairan kita, isu berkait tuntutan bertindih di Laut China Selatan, kita guna saluran diplomasi tetapi dari aspek penguatkuasaan dalam perairan kita, itu tiada sebarang kompromi,” jelasnya.

Kepada soalan apakah perolehan beberapa aset kritikal untuk ATM akan ditangguhkan berikutan langkah kerajaan mahu menyemak semula Bajet 2016 beliau berkata, rancangan pembelian peralatan pertahanan yang sudah dimukta­madkan akan diteruskan.

Katanya, meskipun mengakui penurunan harga minyak dunia menyebabkan kerajaan berdepan dengan kekangan kewangan, tetapi perkara itu tidak akan sesekali menjejaskan aspek keselamatan dan kesiapsiagaan pertahanan Malaysia.

“Projek perolehan yang telah kita muktamadkan (pesawat A400M, kenderaan tempur berperisai AV8, kapal perang Gowind) tidak akan dipotong malah kita akan pastikan aset-aset kritikal tersebut diterima mengikut jadual,” ujarnya.





No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor