Pages

Saturday, January 30, 2016

[TEMERLOH] KEKALKAN BIASISWA JPA



Kekalkan biasiswa JPA

Kerajaan terus memberi perhatian terhadap kebajikan golongan pelajar apabila mengekalkan pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada mereka yang layak.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan berkata, keputusan kerajaan itu memberi impak positif dalam membantu golongan pelajar sekali gus meningkatkan semangat mereka untuk lebih cemerlang.

Menurutnya, pengubahsuaian bajet yang dilakukan kerajaan juga tidak menjejaskan kakitangan awam termasuk guru sebaliknya golongan ini terus diberi keutamaan.

“Walaupun kerajaan terpaksa mengubahsuai bajet 2016 tetapi ia tidak menjejaskan pembangunan pendidikan Negara.

“Sektor pendidikan terus diberi keutamaan oleh kerajaan termasuklah meneruskan projek yang memberi impak kepada komuniti seperti pembinaan sekolah.

“Sebelum ini, beberapa fitnah disebarkan pihak tidak bertanggungjawab terhadap kerajaan mendatangkan kegusaran kepada kakitangan awam tetapi jelas dengan pengumuman Perdana Menteri, ia sama sekali tidak menjejaskan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media Majlis Penyerahan Cek Sekolah Bantuan Kerajaan SJKT negeri di Pejabat Pendidikan Daerah Temerloh di sini, kelmarin.

Kamalanathan turut menyampaikan sumbangan cek bernilai RM3.41 juta kepada 26 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang amat prihatin dengan mengumumkan bahawa projek yang ada impak kepada komuniti seperti pembinaan sekolah dan hospital akan terus dilaksanakan.

“Kerajaan juga tidak pernah meminggirkan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) apabila memperuntukkan RM50 juta kepada 371 SJKT di seluruh negara.

“Saya harap peruntukan ini digunakan secara berhemah khususnya dalam membaiki infrastruktur sekolah demi keselesaan pelajar dan guru,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor