Pages

Friday, January 15, 2016

SYED ALI BIDAS MELAYU JADI PAK SANGGUP DAP



Kuala Lumpur, 13 Jan - Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan orang Melayu yang terlalu teringin untuk menjadi wakil rakyat agar tidak terpedaya dengan lamaran bakal dibuat oleh DAP, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau mendedahkan bahawa, DAP dikatakan akan meletakkan calon-calon Melayu di beberapa kerusi parlimen pada PRU dalam usaha mereka menumbangkan UMNO terutama Barisan Nasional (BN).

Katanya tindakan DAP itu jelas sekadar sandiwara untuk menunjukkan kepada rakyat terutama orang Melayu bahawa parti itu bukannya rasis.

Tetapi katanya, barisan kepimpinan tertinggi parti itu termasuk diperingkat negeri majoritinya dibarisi oleh pemimpin Cina manakala orang Melayu sekadar menjadi tukang sorak.

"Saya berharap mana-mana pemimpin Melayu yang gila nak jadi YB, agar tidak mudah memasuki perangkap DAP kerana mereka sekadar dijadikan alat untuk memecahbelahkan orang Melayu," tegasnya dalam entri terbaharu laman blogumnobahagiancheras.blogspot.my

Beliau berkata, DAP lebih aggresif untuk mencari mana-mana calon Melayu yang bersedia menjadi 'pak sanggup' berikutan terputusnya hubungan politik parti itu dengan PAS.

Katanya, semasa PAS berada dalam Pakatan Rakyat, DAP tidak berdepan laluan sukar untuk meraih undi pengundi Melayu di sesetengah kawasan kerana faktor sokongan dan kerjasama dengan PAS.

"Kini PAS sudah memutuskan perkongsian kuasa dengan DAP termasuk PKR dan parti Amanah, mahu tidak mahu parti itu terpaksa mencari mana-mana pemimpin politik Melayu untuk dijadikan pak sanggup," ujarnya.

Syed Ali mengingatkan, orang Melayu yang bersedia menjadi pak sanggup kepada percaturan politik DAP boleh diibaratkan sebagai petualang yang sengaja merosakkan masa depan bangsa.

"DAP sudah jelas dan terbukti sebuah parti yang hanya memperjuangkan kepentingan politik satu kaum, jadi bagaimana boleh ada orang Melayu yang tergamak menyertai parti itu," katanya.

Beliau mempersolkan bagaimana sensitiviti sesetengah orang Melayu yang bersekongkol dengan DAP sedangkan parti itu tidak pernah secara terbuka menjelaskan akan membela nasib orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

"Orang sebegini barangkali hanya memikirkan laba politik dan gila untuk diangkat sebagai wakil rakyat sehingga sanggup menjual harga diri dan maruah bangsa Melayu," tegasnya.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor