Hulu Langat - “Pelanggan sampai tuduh saya sorok tong gas memasak dalam kedai, sedangkan dah dua hari berturut-turut saya terputus bekalan itu,” kata peniaga kedai runcit di Taman Sri Nanding, Rustam Jinis, 55.
Kekurangan bekalan gas memasak di sekitar kawasan Hulu Langat katanya, berlaku sejak tiga minggu lalu namun dia masih menerima bekalan seperti biasa sebelum ini.
Katanya, dia terpaksa berdepan kemarahan pengguna sejak pagi semalam apabila gas memasak kehabisan stok, yang tinggal di kedainya hanyalah tong kosong tidak berisi.
“Pembekal dah beritahu bekalan gas kurang sejak tiga minggu lalu, saya biasa ambil bekalan 60 tong sehari, lori akan hantar empat trip setiap hari. Tapi sejak semalam dan hari ini tiada satu tong gas pun dihantar ke kedai,” katanya kepada Sinar Harian.
Situasi itu katanya, yang pertama kali berlaku sejak dia menjalankan perniagaan kedai runcit, 24 tahun lalu.
Jika keadaan berterusan, dia bimbang mengalami kerugian berikutan kedainya satu-satunya yang menawarkan bekalan itu kepada penduduk di taman perumahan sama.
Rustam berkata, dia bertanya kepada pihak ejen (syarikat pengedar) termasuk menghubungi ibu pejabat pengeluar namun jawapan diterima mengecewakan, bekalan gas memasak berkurangan.
Sejak bulan April lalu, katanya, dia juga tertanya-tanya mengapa tong gas baru tidak boleh dibeli dan seterusnya dijual kepada pelanggan.
“Kasihan mereka yang baru berkahwin dan nak masuk rumah baru, saya tak ada tong lebih dijual kepada mereka,” katanya yang meminta pihak pembekal mencari jalan penyelesaian mengatasi masalah itu.
Seorang lagi pengusaha kedai runcit yang dikenali sebagai Riza berkata, bekalan itu disedari berkurangan sejak sebulan lalu.
Katanya, dia ada bertanya kepada rakan yang bekerja sebagai pemandu treler membawa muatan itu, jawapan diterima, bekalan di Port Dickson berkurangan dan trip turut berkurangan dari lima trip kepada dua setiap hari.
“Nasib saya ada juga lebihan stok tong gas jadi tak ada masalah sangat tapi memang saya dapat tahu bekalan tong gas memasak berkurangan sejak sebulan lalu,”katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor