Pages

Friday, January 22, 2016

PEMBERSIHAN SISA BAUKSIT DIJANGKA SELESAI AWAL FEBRUARI


Bauksit


Kuala Lumpur - Kerja-kerja pembersihan sisa bauksit di Kuantan, Pahang dijangka selesai awal Februari, kata Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Noor Ibrahim.

Beliau berkata, setakat ini, 30 peratus daripada kawasan yang tercemar dengan sisa bauksit telah dibersihkan.

"Kita berjaya bersihkan kira-kira lima peratus sehari dan kita jangka kerja pembersihan selesai awal bulan depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kawalan Kecemasan PLC Group di sini, hari ini.

Wan Mohd Noor berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kerja-kerja pembersihan sisa bauksit oleh pihak bomba di Kuantan.

Sementara itu, beliau berkata satu prosedur operasi standard (SOP) perlu diwujudkan bagi memastikan kawasan berkenaan tidak dicemari sisa bauksit selepas kerja pembersihan selesai dilakukan.

"Jika kawasan lombong bauksit itu akan beroperasi lagi selepas ini, satu SOP baru perlu diwujudkan supaya kawasan itu bebas daripada pencemaran sisa bauksit," katanya.

Semalam, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Morni Mamat dilaporkan berkata laluan sepanjang 30 kilometer Jalan Pintasan Kuantan menghala ke pelabuhan sudah dibersihkan daripada sisa bauksit dalam tempoh seminggu kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Katanya, laluan itu meliputi Kampung Padang di Bukit Goh hingga ke kawasan perindustrian Gebeng di sini.

Morni berkata, operasi pembersihan dijalankan setiap hari bermula pukul 8 pagi dan berakhir pada pukul 2 petang, sejak dimulakan pada 14 Jan lalu.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor