Pages

Friday, January 22, 2016

PAMPASAN TIDAK MEMADAI


Pampasan tidak memadai


Ipoh - Pampasan RM2,000 ditawarkan pemaju dilihat tidak setimpal dengan usaha dijalankan pekebun di Kampung Bikam, Bidor, di sini, sejak lebih 40 tahun lalu.

Justeru, semalam seramai 13 pekebun kelapa sawit menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri supaya campur tangan dalam isu berkaitan tuntutan pampasan.

Wakil pekebun, P Rajendran, 52, berkata, tawaran pemaju terpaksa ditolak kerana jumlah berkenaan tidak memadai dengan hasil kelapa sawit yang ada di kebun mereka ketika ini.

Menurutnya, rata-rata pekebun telah menjalankan aktiviti pertanian di kawasan itu lebih 40 tahun dan pampasan yang diterima sepatutnya lebih tinggi daripada ditawarkan pemaju. 

“Saya harap kerajaan negeri campur tangan dalam hal ini, walaupun lebih 40 tahun berkebun di situ, kami bersedia keluar cuma nilai pampasan itu perlu dilihat semula,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bangunan Kerajaan Negeri (SUK) di sini, semalam.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Tang Man Hong yang mewakili Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Dalam pada itu, Rajendran berkata, setiap pekebun tidak diberikan sebarang notis oleh pihak pemaju berkaitan kerja-kerja pembersihan di kawasan berkenaan.

“Mereka mulakan kerja pembersihan sekitar awal Disember lalu dan setakat ini dua kebun dikosongkan tanpa sebarang notis atau perintah mahkamah,” katanya.

Dia berkata, semua pekebun berharap perkara berkenaan dapat diselesaikan segera memandangkan mata pencarian mereka bergantung kepada hasil kebun terbabit.

“Lepas pencen askar, inilah kehidupan dan mata pencarian saya, kalau hilang, apa lagi yang saya ada,” katanya.

Pekebun, Yang Woo Chong, 48, berharap, kerajaan negeri menjadi orang tengah dalam menyelesaikan isu pampasan itu.

“Kerjasama dan tindakan segera amat dihargai dan kami berharap ia tidak akan berlarutan sehingga menjejaskan kehidupan kami,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor