Pages

Wednesday, January 27, 2016

NYARIS MAUT DIBAHAM BUAYA




Lahad Datu: Seorang pekerja ladang kelapa sawit parah diserang buaya ketika memancing di takungan air berhampiran Loji Jeragan Bistari di FELDA Sahabat 39, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, Sulle Buriah, 37, hampir putus tangan kanan selain cedera dengan kesan gigitan di peha selepas bergelut dengan reptilia sepanjang dua meter.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan lanjut oleh pekerja lain yang menyedari kejadian itu.

Difahamkan, mangsa sedang memancing bersama anak lelakinya berusia lapan tahun sebelum diserang haiwan berkenaan sehingga terhumban ke dalam air.

Sementara itu Pengurus Ladang FELDA Sahabat 39 Shahalin Barahim berkata, beberapa penduduk yang menyedari kejadian itu membantu mangsa yang sedang bergelut dengan buaya berkenaan.

"Mangsa sudah dihantar ke hospital untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil," katanya ketika dihubungi.

Menurut Shahalin, kolam takungan air itu memang dihuni buaya, namun kes serangan reptilia itu adalah yang pertama dialami penduduk.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor