Pages

Saturday, January 16, 2016

NAJIB UMUMKAN TIADA KENAIKAN GST


PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kerajaan tidak akan menaikkan kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam pengubahsuaian Bajet 2016.

Menurut Perdana Menteri, rak­yat Malaysia masih belum bersedia menyerap sebarang kenaikan kadar GST dan kerajaan prihatin terhadap isu kos hidup rakyat.

Jelas beliau, pengubahsuaian bajet yang bakal dilakukan akan mengambil kira pandangan positif daripada pasaran dan kesejahteraan rakyat selain menentukan keutamaan baharu yang dapat memastikan keberhasilan maksimum daripada segala per­belanjaan kerajaan.

Katanya, langkah mengubah suai bajet itu merupakan tindakan proaktif kerajaan dalam menghadapi situasi masa hadapan agar dapat mengurangkan sebarang impak negatif yang memberi tekanan terhadap ekonomi negara dan beban rakyat.

“Pendekatan yang kita hendak ambil (akan mengambil kira) dari segi pertumbuhan, pekerjaan, inflasi dan kos sara hidup. Semua faktor ini mesti dilihat sekali dengan kesannya pada masa depan.

“Selain itu, terdapat keperluan untuk mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan dari segi operasi dan pembangunan,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan tiga mesyuarat iaitu mesyuarat bersama ahli-ahli Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE), mesyuarat bersama peneraju-peneraju industri dan mesyuarat bersama penganalisis-penganalisis ekonomi.

Yang hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi JKE, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Pengubahsuaian Bajet 2016 dijangka akan dibentangkan 28 Januari ini bagi membolehkan negara berdepan pelbagai cabaran getir ekonomi global termasuk kejatuhan harga minyak mentah dunia dengan berpaksikan kepada realiti semasa.

Dalam pada itu, menurut Najib, ketiga-tiga mesyuarat yang diadakan hari ini bertujuan mendapatkan pandangan pelbagai pihak untuk dijadikan asas dan pertimbangan dalam pengubahsuaian Bajet 2016.

Beliau memberitahu, antara isu-isu yang dibincangkan hari ini adalah mengenai dasar fiskal dan kewangan negara, kedudukan hasil kerajaan, harga minyak dunia, harga komoditi, kos sara hidup, kadar pengangguran serta latihan untuk merangsang sektor swasta.

Katanya, sebarang pertimbangan adalah menjurus kepada hasrat mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan, mendapat reaksi positif daripada pasaran serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Jelasnya, perbincangan yang diadakan hari ini mendapat reaksi positif daripada peneraju-peneraju industri dan semua pihak sewajarnya melihat pengubahsuaian bajet itu sebagai satu pakej dasar oleh kerajaan.

“Satu lagi kumpulan yang belum lagi saya temui adalah yang mewakili pengguna dan juga badan-badan tertentu seperti GLC (syarikat milik kerajaan) dan sebagainya, yang mungkin saya perlu adakan dalam masa terdekat ini,” katanya. - SUMBER

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor