Pages

Monday, January 4, 2016

‘MANA PAMPASAN KAMI?'


‘Mana pampasan kami?’


Parit Buntar - Projek landasan kereta api berkembar elektrik dibina empat tahun lalu sudah siap tetapi bayaran ex-gratia yang dijanjikan pemaju kepada penduduk di Taman Setia Jaya, di sini, masih belum diterima.

Itu situasi dialami seramai 33 pemilik rumah di kawasan terbabit yang mendakwa kediaman mereka terjejas disebabkan kerja pembinaan landasan kereta api berkembar elektrik yang dibina pada 2012.

Pemaju masih belum menyerahkan pampasan yang dijanjikan dalam proses rundingan terdahulu bersama kerajaan.

Penduduk, Megat Abu Bakar Megat Abdul Latif, 62, berkata, kediaman penduduk terjejas teruk berikutan kerja pemasangan cerucuk di tapak projek itu.

"Bukan sahaja dinding dan bumbung rumah retak, malah ada rumah yang mendap.

"Jadi, kami tubuhkan jawatankuasa bertindak untuk bela nasib mangsa yang rumahnya terjejas dan berjumpa dengan wakil pemaju untuk cari penyelesaian," katanya.

Difahamkan, penduduk turut melaporkan isu itu kepada Majlis Daerah Kerian (MDK) yang membawa kepada pertemuan antara penduduk, wakil pemaju, MDK, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Perak dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Malah, pada Jun 2012, Forensik JKR mengadakan pemeriksaan ke setiap rumah penduduk yang dilaporkan terjejas untuk menyiapkan laporan penilaian kos kerosakan.

Megat Abu Bakar berkata, hasilnya, JKR mengesyorkan jumlah keseluruhan pampasan yang perlu ditanggung pemaju RM298,000, termasuk tambahan 37 rumah penduduk di Taman Damai dan Taman Semarak yang terletak berhampiran tapak projek.

"Tapi, pemaju hanya setuju bayar pampasan RM150,000 dengan syarat semua pemilik rumah terlibat bersetuju tanda tangan surat aku janji tidak akan bawa perkara itu ke mahkamah selepas bayaran pampasan," katanya.

Pada Januari 2014, MDK mengedarkan surat tawaran pembayaran ex-gratia dipersetujui pemaju kepada semua pemilik rumah terlibat.

Menurut Syed Amin Shah Abdul Ghaffar Shah, 62, surat tawaran itu meminta penduduk memberi persetujuan terhadap nilai tawaran dikemukakan sebelum tarikh ditetapkan.
“Ada sebahagian penduduk setuju dan memberi maklum balas segera kepada MDK.

“Tapi, selepas dua tahun, status pembayaran pampasan ex-gratia masih tergantung dan setiap kali perkara ini diajukan kepada pihak terlibat, tiada jawapan positif diberi,”katanya.
Pampasan tak setimpal

Bagi Hamid Mohd Yunus, 65,dia terpaksa menanggung kos baik pulih rumah yang tinggi disebabkan projek berkenaan.

"Kos ganti rugi yang bakal diterima antara RM2,000 hingga RM7,000 bergantung kepada kerosakan rumah masing-masing.

"Tapi, nilai itu hanya separuh daripada nilai kerosakan sebenar dilaporkan Forensik JKR Perak.

"Lebih menyedihkan, lima pemilik rumah terlibat meninggal dunia sebelum sempat dapat pampasan dijanjikan," katanya.


Kes masih tergantung

Sementara itu, Setiausaha MDK, Mohd Razif Ramli berkata, syarikat pemaju enggan menyalurkan wang pampasan dijanjikan berikutan semua pemilik rumah terlibat belum menandatangani surat aku janji bersyarat.

“Berdasarkan borang maklum balas diterima MDK, hanya sebahagian penduduk setuju dengan nilai pampasan ditawarkan, selebihnya menuntut pampasan ditambah atau tuntutan dibawa ke mahkamah.

"Jadi, pemaju enggan ambil risiko dan MDK tak dapat buat apa-apa sebab kami hanya perantara," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, MDK bersedia membantu pemilik rumah terlibat sekiranya kata sepakat dicapai.

"Kami tidak lepas tangan seperti yang didakwa, malah dalam isu tuntutan ini kami sudah buat segala yang terdaya termasuk rayuan mempercepatkan bayaran pampasan.

"Kalau penduduk sudah sepakat, kami sedia bantu selesaikan kemelut tuntutan ini," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor