Pages

Wednesday, January 27, 2016

[KUANTAN] SIRI PENERANGAN ISU BAUKSIT DI SELURUH PAHANG


Adnan Yaakob


Kerajaan Negeri Pahang akan mengadakan sesi penerangan di seluruh negeri mengenai isu bauksit.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, sudah tiba masa untuk beliau sendiri memberikan penerangan kepada rakyat selepas berdiam diri terhadap pelbagai kritikan berhubung isu itu.

"Tunggulah ...saya akan pergi buat sesi penerangan seluruh negeri Pahang untuk menerangkan isu bauksit ini.

"Penerangan ini penting untuk kita maklumkan kepada rakyat mengenai perkara sebenar berhubung isu bauksit ini, sebelum ini saya hanya berdiam diri dan memerhatikan sahaja apa yang berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penjenamaan semula Kolej Institut Kemahiran Ikhtisas Pahang (IKIP) kepada Kolej Yayasan Pahang (YPM) dan Program SMART Tahfiz di sini, semalam.

Adnan berkata, berdasarkan pemerhatian, 99 peratus masalah bauksit yang timbul selama ini adalah berpunca daripada kegiatan perlombongan bauksit yang dijalankan secara haram.

"Pejabat Tanah dan Galian (PTG) ada kuasa, kastam dan pelabuhan ada kuasa ... di jalan raya pula polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ada kuasa, tetapi akhirnya kita tak ada kuasa langsung untuk kuat kuasa undang-undang atasi kegiatan perlombongan haram ini," katanya.

Pada 6 Januari, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan kerajaan memutuskan aktiviti perlombongan bauksit di Bukit Goh di sini dihentikan sementara selama tiga bulan berkuat kuasa 15 Januari lepas.

Berhubung kolej itu, Adnan berkata melalui penjenamaan semula itu beberapa pembaharuan akan dibuat antaranya menambah infrastruktur kolej selain membina sebuah bangunan baharu berharga RM30 juta bermula April depan dan dijangka siap akhir 2017 dan dijangka boleh menampung lebih 3,000 pelajar.

Selain itu, katanya bilangan pensyarah berkelayakan doktor falsafah (PhD) daripada empat orang ketika ini akan ditambah kepada 10 orang pada akhir 2016 dan 18 orang pada akhir tahun 2017.

Kolej IKIP yang ditubuhkan sejak 1992 telah melahirkan lebih 40,000 graduan.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor