Pages

Friday, January 15, 2016

[KUANTAN] RUMAH BAWAH POKOK DARI BAHAN BUANGAN

Buat rumah bawah pokok guna bahan terbuang



Kehadiran seorang lelaki di Taman Kerang sejak beberapa bulan lalu yang menjadikan kawasan itu sebagai tempat tinggalnya tidak disenangi orang ramai khususnya penduduk setempat.

Lelaki berusia dalam lingkungan 40-an dan kelihatan tidak terurus itu dikatakan berada di kawasan terbabit sejak hujung tahun lalu.

Difahamkan, lelaki itu turut dilihat mula membina 'rumah' daripada barang-barang terpakai di bawah sebatang pokok yang terdapat di taman tersebut.

Penduduk, Mohd Kassim Ismail, 50, berkata, dia menyedari kehadiran lelaki tersebut sejak sebulan lalu.

Katanya, kawasan tempat berteduh lelaki terbabit kotor dan walaupun dia tidak mengganggu orang awam, kehadirannya sedikit sebanyak menjejaskan imej bandar Kuantan.

“Agak pelik melihat keadaan lelaki itu yang membuat ‘rumah’ pada pokok dengan barang terbuang dan busuk.

“Malah saya lihat keadaan dirinya juga tidak terurus dan berbau. Saya harap ada pihak berkaitan datang dan melihat keadaannya untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, kakitangan swasta, Abdillah Mahmud, 42, berkata, dia mahu pihak berkuasa mengambil tindakan merobohkan binaan dibuat lelaki terbabit.

“Taman Kerang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong dari dalam dan luar.

“Keadaan begitu agak tidak cantik dan mungkin pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor