Segelintir pasangan yang bakal berkahwin di negeri ini dikesan mengambil jalan mudah melakukan pernikahan yang berlawanan dengan Undang-undang Keluarga Islam Pahang sehingga ada kes perkahwinan mereka terpaksa dibubarkan (faraq) kerana tidak menepati syarak.
Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Mohammad Abdul Qahar Abd Aziz berkata, perkahwinan tanpa kebenaran pihak berkuasa agama negeri adalah berlawanan undang-undang.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman, ada pasangan yang tidak sabar memilih untuk bernikah di luar negara termasuk di Selatan Thailand.
“Ada juga yang berkahwin di Malaysia tetapi mendapat sijil nikah dari Selatan Thailand yang diuruskan pihak tertentu tanpa tauliah.
“Apabila ada permohonan mendaftarkan semula perkahwinan itu di sini, mereka perlu kemukakan bukti perkahwinan itu termasuk gambar, dokumen, surat perakuan konsulat dan surat sokongan lain untuk diangkat ke mahkamah syariah bagi tujuan pertimbangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Mohammad Abdul Qahar berkata, mahkamah syariah akan membuat keputusan sama ada perkahwinan itu menepati rukun dan syarat sah nikah atau sebaliknya sebelum kebenaran diberikan untuk pasangan terbabit mendaftarkan perkahwinan di pejabat kadi berhampiran.
“Walaupun perkahwinan itu sah, pasangan terbabit akan didenda kerana melakukan perkahwinan yang berlawanan undang-undang.
“Sekiranya sesebuah perkahwinan itu didapati tidak sah, mahkamah akan faraq pernikahan tersebut manakala pasangan akan diperintahkan bernikah semula selain berdepan hukuman denda,” katanya.
Justeru, beliau meminta mana-mana pasangan yang berkahwin melalui jalan yang berlawanan undang-undang ini supaya tampil mendaftarkan perkahwinan dengan segera supaya statusnya dapat disahkan.
“Kita bimbang, sekiranya perkahwinan bermasalah itu tidak didaftarkan, ia akan memberi kesan kepada keluarga itu sendiri termasuk kesukaran mendaftarkan anak dan masalah pembahagian harta pusaka jika kematian suami,” katanya.
Beliau berkata, bagi pasangan di negeri ini yang bakal berkahwin, mereka disaran hadir ke pejabat kadi daerah terdekat untuk memohon kebenaran berkahwin.
“Permohonan mereka akan disemak melibatkan beberapa perkara utama antaranya pasangan itu sendiri sama ada mereka boleh berkahwin atau tidak selain wali yang sah.
“Setelah segala syarat dipenuhi, surat kebenaran berkahwin dan akad nikah bagi pasangan itu akan dikeluarkan,” katanya.
Beliau berkata, tanggungjawab pendaftar nikah, cerai dan rujuk adalah meneliti pasangan dari segi kelayakan berkahwin, misalnya lelaki tidak memiliki empat isteri semasa permohonan dibuat.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor