Pages

Saturday, January 30, 2016

[KUANTAN] PAHANG CATAT PENURUNAN KES DEMAM DENGGI


denggi nyamuk aedes


Sebanyak 269 kes demam denggi dilaporkan berlaku di Pahang bagi tempoh 1-24 Jan lepas, iaitu penurunan sebanyak 1.5 peratus atau empat kes berbanding 273 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, tiada kematian akibat demam denggi direkodkan berbanding satu kes kematian yang berlaku bagi tempoh sama tahun lalu.

"Daerah Kuantan masih menjadi penyumbang kes tertinggi iaitu lebih 52 peratus dengan 142 kes, diikuti Temerloh (45 kes), Maran (20), Bentong (16), Jerantut (13), Raub (11), Bera (sembilan), Pekan (enam), Rompin (empat), dan Lipis (tiga)," katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Beliau berkata, empat kawasan penularan penyakit paling aktif di Pahang ialah daerah Kuantan melibatkan tiga lokaliti iaitu Rumah Pangsa Alor Akar (tiga kes), Taman Gembira, Galing (tiga) dan Taman Sg Isap 3 (lima).

Di Temerloh pula, lokaliti wabak adalah di Taman Mentakab Indah 2 dengan empat kes.

Mengenai peningkatan kes demam denggi akhir-akhir ini, Dr Ismail berkata, cuaca hujan dan panas silih berganti menjadi antara punca berlaku pembiakan aedes di dalam bekas berisiko yang dibuang merata-rata.

"Keadaan ini juga ada kaitan dengan peningkatan bekas berisiko yang dibuang di sekitar kediaman atau sekeliling rumah serta pembuangan sampah di tanah lapang atau lot kosong," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Ismail berkata, pihaknya melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan kes demam denggi dengan melakukan semburan kabus ke atas 95,228 premis dan pemeriksaan pembiakan aedes di 29,822 premis.

Beliau berkata, 12,517 premis diletakkan abate bagi memusnahkan jentik-jentik malah sehingga kini 10 aktiviti gotong-royong dilakukan dengan kehadiran 946 penduduk.

Jabatan Kesihatan negeri setakat ini mengeluarkan 68 kompaun dengan nilai RM34,000 selain memberi 52 Notis Seksyen 8 bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat kepada penduduk di negeri itu, katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor