Bukan duit sahaja dikebas tetapi sekali tabung besi seberat lebih 300 kilogram turut lesap.
Sebuah tabung derma yang diperbuat daripada besi tulen di Masjid Al Muhajirin Felda Jengka 21 hilang dipercayai dicuri pada malam semalam.
Kejadian disedari jemaah yang datang untuk menunaikan solat Subuh apabila mendapati tabung yang diletakkan di tiang masjid berusia 28 tahun itu lesap.
Imam 1 masjid Masjid Al Muhajirin Felda Jengka 21, Md Isa Megat Saad berkata, tabung tersebut disumbangkan sebuah kilang getah berdekatan dan diletakkan di masjid berkenaan sejak 1988.
Menurutnya, kehilangan tabung besi itu mengejutkan jemaah kerana tidak menyangka ada yang tergamak membawa lari tabung berkenaan.
"Dulu sewaktu mula bawa masuk tabung besi ini ke dalam masjid, kami menggunakan tenaga lapan orang kerana terlalu berat apabila diperbuat daripada besi tulen yang tebal.
"Sebelum ini ada berlaku beberapa kejadian curi duit dari dalam tabung terbabit dengan cara memotong kunci mangga atau 'memancing' guna kayu yang dilekatkan gula-gula getah.
"Tetapi kali ini, sekali dengan tabung mereka kebas bawa lari walaupun berat dan telah dipatri dengan dua batang besi pada tiang masjid,"katanya ketika ditemui di masjid berkenaan, di sini.
Md Isa berkata, terdapat sebuah lagi tabung besi khas untuk derma anak yatim selang dua tiang dari tabung yang dicuri itu.
Menurutnya, duit derma dalam tabung anak yatim yang dipatril sepenuhnya itu baharu dikutip dua minggu lepas dengan jumlah kutipan lebih RM4,000.
"Jumlah itu untuk kutipan selama lapan bulan manakala wang dalam tabung besi untuk masjid yang hilang ini belum dikutip sejak lima bulan lalu.
"Saya tidak menolak kemungkinan wang dalam tabung masjid yang dicuri ini mempunyai jumlah lebih kurang sama.
"Difahamkan kejadian curi tabung masjid turut berlaku di Masjid Kampung Rumpun Makmur awal bulan lalu,"katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor