Pages

Saturday, January 23, 2016

HIDANG NASI LEMAK LAUK ULAT


Hidang nasi lemak lauk ulat


Batu Pahat - Sebuah kedai makan di pekan Yong Peng, di sini, diarah tutup selama 14 hari oleh Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) kerana gagal mematuhi peraturan penyediaan makanan kepada pelanggan.

Ia ekoran aduan diterima daripada pelanggan kedai makan berkenaan, mendakwa menjumpai ulat dalam hidangan nasi lemak yang dibeli.

Yang Dipertua MDYP, Kamalludin Jamal berkata, ‘lauk tambahan’ itu ditemui sebaik pengadu ingin menikmati makanan tersebut.

Berdasarkan aduan diterima, pihaknya bersama Pejabat Kesihatan Batu Pahat membuat pemeriksaan di premis terbabit dan mendapati proses penyediaan makanan gagal mematuhi aspek kebersihan seperti ditetapkan. 

“Kami kesal kerana pemilik kedai makan itu juga gagal mengemukakan Lesen Perniagaan MDYP 2014, buku suntikan pekerja dan Sijil Latihan Pengendali Makanan.

“Selain itu, mereka juga tidak menjaga kebersihan di bahagian dapur dan beberapa bahagian lain premis,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kamalludin berkata, serbuan itu diketuai Pegawai Kesihatan Persekitaran MDYP, Roslee Samad bersama empat pegawai penguat kuasa MDYP, empat Ahli Majlis MDYP dan tiga pegawai dari Pejabat Kesihatan Batu Pahat.

Beliau berkata, peniaga terbabit telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (MDYP) 1987.

Jelasnya, atas kesalahan dilakukan, premis berkenaan diarah tutup selama 14 hari untuk kerja pembersihan dan dikenakan kompaun RM1,000 serta denda RM500.

“Pemeriksaan terperinci akan dilakukan pihak MDYP dan Pejabat Kesihatan Batu Pahat dalam tempoh 14 hari. Jika mereka masih gagal mematuhi peraturan, premis berkenaan tidak dibenarkan dibuka kepada pelanggan sehingga ia benar-benar bersih.

“Pihak MDYP tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengendali kedai makan yang gagal mematuhi peraturan dan pemeriksaan akan dilakukan dari semasa ke semasa di kedai makan kawasan pentadbiran kami,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor