Pages

Wednesday, January 13, 2016

BEKALAN AIR MELAKA CUKUP UNTUK MUSIM PANAS


Air


Bekalan air di negeri ini dijangka mencukupi bagi menampung pemintaan pengguna walaupun dalam musim panas dan kemarau yang dijangka berlaku hingga Mac ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron

Beliau berkata, bekalan paras air di tiga empangan di negeri itu masih dalam keadaan baik iaitu Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah berada pada kapasiti 95 peratus, Empangan Jus di Jasin (80 peratus) dan Empangan Asahan juga di Jasin (100 peratus).

"Setakat ini bekalan air di tiga empangan mencukupi memandangkan pada musim hujan yang lepas kita telah melakukan proses pengepaman air yang melimpah di kawasan rendah ke kawasan empangan tinggi.

"Rakyat Melaka tidak perlu risau tentang catuan bekalan atau pemotongan kerana kita telah menguruskan air dengan baik," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Simposium Pengurusan dan Pengauditan Kewangan 2016: Akauntabiliti, Integriti, Tadbir Urus dan Pengauditan Pengurusan Kewangan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mustafar Ali.

Mengulas lanjut, Idris berkata rakyat di negeri ini diminta memantau aktiviti pembakaran terbuka di kawasan masing-masing serta tidak melakukan perbuatan berkenaan kerana ia mampu memberi kesan buruk terhadap cuaca panas.

Sementara itu, Ambrin berkata pihaknya berpuas hati terhadap penyelesaian masalah yang diambil kerajaan negeri Melaka hasil teguran yang dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara tahun lepas terutamanya berkaitan perbelanjaan agensi serta jabatan kerajaan negeri.

Beliau berkata, Melaka telah mematuhi beberapa syor yang dikemukakan Jabatan Audit Negara tentang bagaimana untuk mengatasi kesilapan dan kelemahan yang berlaku melalui kaedah tindakan korektif.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor