Pages

Monday, December 21, 2015

TIADA GEMPA BUMI SUSULANDI SABAH




KUALA LUMPUR, 21 Dis - Tiada jangkaan gempa bumi susulan di Sabah setakat ini, ekoran gempa bumi kuat berukuran 6.2 pada skala Richter yang melanda Kalimantan, Indonesia, awal pagi ini, kata Jabatan Meteorologi Malaysia.

Ketua Pengarahnya Datuk Che Gayah Ismail berkata kebiasaannya 'gempa utama' sepertimana berlaku 2.47 pagi tadi, akan disusuli dengan gempa susulan yang lebih kecil.

"Namun, setakat ini berdasarkan maklumat terkini, kita belum merasai gegaran kedua.

"Ini mungkin disebabkan jarak kita dengan pusat gempa yang jauh," katanya ketika dihubungi Bernama Isnin.

Gempa yang berlaku di 3.6 darjah utara dan 117.6 darjah timur, kira-kira 33km ke utara Tarakan dan 96km barat daya Tawau itu turut dirasai di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu, Sabah, pagi tadi.

Menurut laporan media, kuarters Jabatan Bomba dan Penyelamat Tawau terpaksa dikosongkan selepas gegaran kuat dirasai, selain ada bangunan di daerah berkenaan yang dilapor mengalami keretakan.

Che Gayah berkata gempa yang berlaku di permukaan darat itu juga tidak menimbulkan ancaman tsunami.

"Sistem yang kita guna pakai sekarang mampu mengesan gempa bumi dengan baik, jadi berdasarkan maklumat sekarang, boleh dikatakan keadaan di Sabah agak selamat daripada gempa bumi (susulan)," katanya.

Tambah beliau, sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan menerusi media.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor