Pages

Sunday, December 13, 2015

[TEMERLOH] PAPAN TANDA TEMERLOH DIBAIKI

Papan tanda Temerloh dibaiki



Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) terpaksa mengeluarkan peruntukan sendiri bagi melakukan kerja pemasangan papan tanda nama Temerloh yang rosak akibat banjir tahun lalu, berikutan lewat mendapat maklum balas daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) Datuk Syed Mohd Nor Syed Jaafar berkata, pihaknya telah memohon peruntukan daripada kementerian berkenaan sejak awal tahun, tetapi jawapan diterima lewat menyebabkan kerja baik pulih tidak dapat dilakukan.

Katanya, bagi memastikan papan tanda itu dibaiki, MPT mengeluarkan peruntukan sendiri di bawah Kumpulan Wang Pembangunan (KWP) dan menawarkan tender kepada kontraktor.

“Kementerian tidak meluluskan peruntukan dan MPT terpaksa mengeluarkan sendiri peruntukan bagi membaiki papan tanda tersebut.

“Disebabkan tidak ramai kontraktor yang menghasilkan papan tanda dan tulisan besar seperti itu, maka kontraktor utama yang dilantik terpaksa tunggu giliran bagi tempahan setiap huruf papan tanda itu,” katanya ketika ditemui di pejabat MPT kelmarin.

Syed Mohd Nor berkata, setiap huruf itu bersaiz 10x6 meter ditempah di Kuala Lumpur dan kerja pemasangan dibuat terus kontraktor utama pada pertengahan bulan lalu.

Beliau berkata, projek memasang papan tanda tanda nama Temerloh itu bernilai RM195,180 dimulakan lewat disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielak.

Menurutnya, MPT telah mengeluarkan tender membaik pulih papan tanda itu pada 25 Ogos lalu tetapi kontraktor mengambil masa yang lama disebabkan perlu menunggu giliran tempahan huruf.

“Isu yang menjadi bualan di laman media sosial kerana kelewatan kerja pemasangan papan tanda itu hampir setahun selepas banjir besar tahun lalu memang tidak dapat dinafikan.

“MPT berusaha semampu mungkin dan berharap penjelasan ini mampu menjawab tohmahan pelbagai pihak yang banyak tersebar di laman sosial sekarang,” katanya.







No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor