Pages

Tuesday, December 8, 2015

SPRM SAHKAN HANTAR PEGAWAI BERTEMU PENDERMA RM2.6b




KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan pihaknya telah menghantar pegawai ke Timur Tengah bagi mengadakan pertemuan dengan penderma dana RM2.6 bilion.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pihaknya akan mengemukakan laporan kepada Peguam Negara sebaik sahaja siasatan selesai dilakukan.

“Bagaimanapun SPRM tidak boleh mendedahkan hasil pertemuan itu kerana siasatan masih berjalan, jika ada perkembangan terkini SPRM akan maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Pada 5 Ogos lalu, SPRM mengesahkan dana RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan sumbangan daripada penderma Timur Tengah.

Pada Sabtu lalu (5 Disember), SPRM telah mengambil keterangan daripada Najib berhubung isu SRC International dan dana RM2.6 bilion.

Pertemuan itu diadakan selama dua jam setengah dan perdana menteri memberi kerjasama dengan baik kepada SPRM.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor