KUALA LUMPUR, 12 Dis - Salam perdamaian yang dihulurkan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak kepada pengkritiknya pada sesi penggulungan perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2015 disambut sorakan gemuruh dengan para perwakilan berdiri memberi penghormatan.
Malah Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang sebelum ini lantang mengkritik Najib, turut berdiri dan bertepuk tangan apabila Najib menyatakan hasrat untuk bersatu dan kembali mengukuhkan ikatan UMNO.
Bagaimanapun, Muhyiddin kembali duduk apabila Najib menegaskan bahawa jika salam itu ditolak, mereka bukan lagi menentangnya atas sifat peribadi tetapi menolak kemahuan para perwakilan UMNO.
Para perwakilan kemudian bersorak "salam, salam, salam," apabila Najib menghabiskan ucapan penggulungan itu bagi 'mengarahkan' Presiden UMNO itu bersalaman dengan Muhyiddin.
Selesai berucap, Najib bersalaman dengan ketiga-tiga Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Mohd Shafie sebelum bersalaman dengan Muhyiddin.
Najib dan Muhyiddin kemudian dikerumuni ketiga-tiga naib presiden UMNO dan Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sambil diberi tepukan gemuruh para perwakilan.
Terdahulu, dalam ucapan penggulungan Najib, para perwakilan turut memberi tepukan gemuruh kepada beberapa perkara dinyatakan antaranya usaha menangani kos sara hidup, pentingnya menyelidik sesuatu perkara bagi mengelak fitnah dan usaha menangani militan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor