Pages

Saturday, December 19, 2015

PROJEK LENCONGAN BANJIR BANTU TANGANI BANJIR DI UTARA PERLIS

KANGAR - Hujan lebat terutama ketika musim tengkujuh sering kali menjadi igauan ngeri kepada penduduk bukan sahaja di beberapa negeri di Pantai Timur, tetapi juga Perlis.

Penduduk Perlis masih lagi dihantui dengan episod-episod banjir yang berlaku saban tahun. Walaupun tidak seburuk seperti bah di pantai timur, Perlis pernah mengalami banjir terburuk iaitu pada 2010.

Pada tahun itu, banjir besar menenggelamkan 47,000 hektar atau separuh keluasan negeri itu termasuk sawah padi dan merosakkan harta benda lain milik 63,000 penduduk yang menyebabkan kerugian hampir RM200 juta.

Antara punca kepada masalah banjir itu adalah kerana saliran sungai sedia ada tidak mampu menampung pembuangan air dari Empangan Timah Tasoh di Padang Besar, yang melimpah akibat hujan lebat.

BERI SINAR BARU

Bersyukur dengan projek yang dilaksanakan kerajaan, penduduk di kawasan utara negeri itu boleh menghela nafas lega apabila Projek Lencongan Banjir Barat (LBB) Timah Tasoh dijadual siap dan dapat beroperasi sepenuhnya pada Jun 2016.

Projek itu yang bermula pada Disember 2012 berjalan lancar mengikut jadual dan kini telah siap kira-kira 70 peratus.

Ketua Penolong Pengarah (Sumber Air) Jabatan Pengairan dan Saliran Perlis Asnol Adzhan Abd Manap berkata projek yang menelan kos sebanyak RM260 juta itu dijangka membantu mengurangkan masalah banjir di utara Perlis.

Apabila siap kelak, air berlebihan di dalam empangan tidak lagi dilepaskan ke dalam Sungai Korok yang sempit, tetapi dialirkan terus ke lautan Selat Melaka di Kuala Perlis.

"Sekiranya ramalan pihak meteorologi menyatakan akan berlaku hujan lebat, kita akan membuat pelepasan air awal mengikut anggaran kiraan (jumlah air naik dalam empangan dan jumlah perlu dilepaskan).

"Air itu terus dialirkan ke laut, sekali gus dapat mengelakkan kejadian banjir terutamanya di kawasan Kangar yang berpunca daripada limpahan air empangan di Sungai Korok," katanya kepada pemberita yang menyertai Kembara Media Jabatan Penerangan ke Perlis baru-baru ini.

LBB Timah Tasoh merupakan satu-satunya tebatan banjir di Malaysia yang menyalurkan air lebihan dari empangan ke terusan khas yang mengalir terus ke laut.

GUNA KAEDAH LETUPAN

Projek itu melibatkan pembinaan beberapa komponen utama termasuklah terusan yang dibina khas bagi tujuan tebatan banjir sepanjang 23 kilometer dari Empangan Timah Tasoh ke Kampung Wai di Kuala Perlis termasuk terowong sepanjang 756 meter yang menembusi banjaran batu kapur di Bukit Tebing Tinggi.

Terowong setinggi tujuh meter itu mempunyai kelebaran 10 meter. Bagaimanapun, paras pengaliran air di dalam terowong hanya akan mencecah setinggi 5.5 meter bagi tujuan pengudaraan di dalam terowong.

Bagi meminimumkan kos, kaedah yang dinamakan 'Control Blasting' digunakan bagi mengorek dan menebuk banjaran batu kapur untuk membuat terowong.

"Tidak seperti Smart Tunnel di Kuala Lumpur yang menggunakan 'Tunnel Boring Machine' (TBM) atau dikenali sebagai 'Tuah' yang harganya terlampau tinggi, LBB menggunakan proses manual iaitu dengan menggunakan letupan bahan peledak dinamit sebanyak dua kali sehari, iaitu pada pagi dan petang.

"Kami menggunakan kepakaran sebuah syarikat kejuruteraan dari China bagi menggunakan kaedah konvensional itu dan kerja-kerja dijalankan selama 24 jam setiap hari bagi memastikan projek dapat diselesaikan mengikut jadual," katanya.

Beliau berkata pembinaan terowong itu ditebuk dari kedua-dua arah dan bertemu di bahagian tengah berbanding pembinaan terowong-terowong di dunia lazimnya bermula di satu bahagian dan berakhir di hujung yang lain.

HANYA ELAK BANJIR DISEBABKAN EMPANGAN

Di bawah LBB, Empangan Timah Tasoh turut dinaik taraf, menyaksikan kerja-kerja meninggikan aras tebing empangan berkenaan sebanyak 3.5 meter bagi meningkatkan kapasiti takungan empangan.

Apabila siap kelak, empangan itu dijangka dapat meningkatkan jumlah takungan air sebanyak 160 peratus iaitu daripada 33 juta meter padu ke 87 juta meter padu.

Empangan Timah Tasoh dapat berfungsi bukan sahaja sebagai sumber bekalan air domestik kepada penduduk negeri ini dan bagi tujuan pengairan pertanian tetapi juga tebatan banjir.

Bagaimanapun, Asnol Adzhan menegaskan LBB tidak akan dapat menyelesaikan masalah banjir di negeri itu secara total.

Katanya ia hanya relevan untuk membantu mengelakkan banjir di kawasan berdekatan yang berpunca daripada pelepasan air empangan dan bukan banjir kilat akibat faktor lain.

"Terdapat empat sungai utama di Perlis tetapi kebanyakan sungai di Perlis adalah kecil... hanya empat ke lima meter kedalaman setiap satu dan ada yang sepuluh meter.

"Maka kalau hujan turun terlalu banyak dan berhari-hari, pasti akan banjir dengan sendirinya walaupun empangan tidak melimpah terutamanya di kawasan yang jauh dari empangan seperti di Cuping atau Arau," katanya.

TARIKAN PELANCONGAN

Apabila projek ini siap kelak, mungkinkah ia akan dijadikan satu tarikan pelancongan baharu di negeri ini?

Asnol Adzhan berkata meskipun projek itu dibangunkan bagi menjalankan fungsi mengurangkan ancaman banjir, namun tidak mustahil ia turut mampu dijadikan produk pelancongan.

"Sememangnya banyak idea yang boleh dimajukan lagi tetapi itu kita serahkan pada kerajaan negeri untuk melihatnya... apa pun apa sahaja yang hendak dijalankan pada masa hadapan perlulah mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir Zainor Rahim Ibrahim berkata terowong itu nanti boleh dilalui oleh bot-bot kecil dan digunakan untuk aktiviti rekreasi seperti menyusuri sungai, berkayak dan renang marathon kerana hanya tiga perempat dipenuhi air.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor