Pages

Saturday, December 19, 2015

[MARAN] MANGSA BANJIR TERIMA RUMAH KEKAL

Mangsa banjir terima rumah kekal



Kerajaan menyalurkan bantuan rumah baharu yang kekal dengan reka bentuk bertiang di daerah ini bagi mengurangkan risiko kerosakan harta benda ketika bencana banjir.

Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana dipertanggungjawab membangunkan sepuluh rumah kekal dan tujuh daripadanya bertiang berkeluasan 249 meter persegi mempunyai tiga bilik selain tandas dan bilik air dengan kos RM55,000.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, penerima bantuan merupakan penduduk yang mengalami kerugian harta benda apabila kediaman mereka rosak dan tidak selamat diduduki selepas ditimpa bencana banjir pada akhir tahun lepas.

Menurutnya, reka bentuk bertiang diharap mengurangkan risiko rumah dinaiki air jika banjir paras biasa tanpa perlu memindahkan barang ke tempat tinggi.

“Saya sempat meninjau keadaan rumah yang rosak teruk akibat banjir tahun lepas dan sepuluh rumah tidak lagi dapat diduduki kerana ada yang roboh dan berubah bentuk.

“Selain JKR, beberapa agensi lain turut terlibat termasuk Giat Mara yang melakukan kerja baik pulih rumah.

“Pejabat Parlimen Maran turut mengenal pasti 70 rumah yang perlu dibaik pulih dengan peruntukan RM700,000 dan ia sudah siap dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penyerahan rumah kekal mangsa banjir daerah Maran, di sini.

Seorang penerima, Rusly Muhammad, 61, berkata, bencana banjir Disember lepas mengakibatkan rumah pusaka didiaminya di Kampung Sembai roboh sepenuhnya.

Menurutnya, mereka sempat keluar dari rumah selepas terdengar bunyi lantai dan dinding rumah terkopak ketika sedang nyenyak tidur.

“Air deras dari Sungai Pahang menyebabkan rumah kami roboh depan mata. Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan serta pemimpin setempat yang menyalurkan bantuan rumah ini,” katanya.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor