Pages

Sunday, December 13, 2015

[KUANTAN] PERKENAL BIRI-BIRI DORPER


Perkenal biri-biri Dorper


Taman Teknologi Agro Mardi Cherating yang akan beroperasi sepenuhnya Mei tahun depan menjanjikan destinasi agro pelancongan terkemuka negara ini.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Mod Saad berkata, Taman Teknologi Agro Mardi Cherating yang ketiga dimajukan Mardi selepas Langkawi, Kedah dan Cameron Highlands ini menelan kos lebih RM5 juta.

Menurutnya, pengunjung berpeluang melawat ke lima lokasi iaitu Laman Tamu, Laman Fertigasi, Laman Kelulut, Laman Ternakan dan Laman Belimbing.

"Laman Tamu atau kawasan rehat dan rawat (R&R) menyediakan 10 unit gerai jualan pelbagai produk makanan keluaran usahawan Mardi, cenderahati dan restoran termasuk kemudahan surau dan tandas.

“Dalam kawasan kebun kelapa turut menempatkan petak kurungan menempatkan anak biri-biri Dorper dan mini zoo arnab yang memberi peluang kepada pengunjung memberi makan dan bergambar.

“Sebelum ke kebun kelapa, pengunjung boleh berkunjung ke Laman Belimbing dan Laman Fertigasi yang menempatkan beberapa jenis sayuran termasuk tanaman anggur hijau dan hitam," katanya.

Mohd Ridzuan berkata, untuk kemudahan pelancong pihak pengurusan turut menyediakan kakitangan yang akan menjadi pemandu pelancong setiap kali tetamu berkunjung ke sini.

Selain itu, pelancong dan pengguna laluan Kuantan-Cherating boleh singgah di Laman Tamu sambil merasa keenakan sup dan gulai kawah biri-biri Dorper yang disediakan sambil membawa pulang madu kelulut.

Katanya, selain pusat agro pelancongan, Taman Teknologi Agro Mardi Cherating turut akan menjadi gedung ilmu kepada pelajar dan peserta kursus berkaitan tanaman dan ternakan biri-biri Dorper.

“Kita juga membuka peluang kepada pihak yang berminat untuk menganjurkan kursus apabila semua kemudahan seperti asrama disediakan secara berperingkat yang dibahagikan kepada beberapa fasa.

“Kerjasama dengan agensi pelancongan kerajaan dan swasta diharap mampu menarik lebih ramai lagi pengunjung,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor