Pages

Thursday, December 17, 2015

[KUANTAN] PAHANG SASAR TARIK 12 JUTA PELANCONG


Pelancong


Tourism Pahang menyasarkan tambahan lebih dua juta kemasukan pelancong tahun depan, berbanding lebih 10 juta pelancong yang direkodkan ke negeri itu tahun ini.

Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar berkata, sasaran lebih 12 juta kemasukan pelancong itu mampu dicapai berdasarkan promosi agresif bersama agensi pelancongan negeri berkenaan. 

"Kami percaya dengan kehadiran 10 juta pelancong tahun ini, sasaran 12 juta pelancong pada tahun depan akan menjadi kenyataan berdasarkan promosi yang dijalankan.

"Berikutan kepelbagaian produk pelancongan seperti keindahan alam semula jadi Taman Negara, Pulau Tioman, tanah tinggi serta keindahan pantai, pelancong akan teruja, dan diyakini akan menetap lebih lama," katanya di sini, hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis aspirasi bersama media serta pelancaran 'Fun Map of Kuantan' dan 'Kuantan Heritage Walk', yang turut dihadiri Pengarah Tourism Malaysia Pahang Mohd Faharuddin Hatmin.

Mengenai produk pelancongan baharu dilancarkan itu, Ishak berkata, pihaknya menjangkakan pelancong akan menetap lebih lama apabila berada di daerah Kuantan yang memiliki bangunan lama termasuk berusia lebih 100 tahun.

Katanya kesemua tarikan itu boleh dilihat dengan kewujudan tanah perkuburan lama di Taman Esplanade serta tapak bangunan lama seperti Pejabat Daerah, tapak pelabuhan serta bangunan kedai di Jalan Besar dan Jalan Mahkota.

Sementara itu, Faharuddin berkata Tourism Malaysia Pahang akan mengedarkan risalah berkaitan dua produk baharu itu kepada pelancong yang menginap di hotel di sini.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor