Pages

Sunday, December 20, 2015

[KUANTAN] 5 BERANAK NYARIS RENTUNG

Lima beranak nyaris rentung



Lena seorang ibu bersama anak-anaknya terganggu apabila rumah didiami terbakar dalam kejadian jam 2 pagi di Kampung Pandan, baru-baru ini.

Ibu tunggal empat anak, Noor Azlina Daud, 37, berkata, dia terasa bahang panas dan mendapati api telah marak.

Menurutnya, dalam keadaan kelam-kabut itu, dia terus kejutkan anak-anaknya untuk selamatkan diri dan sempat menarik keluar motosikal yang diletakkan dalam rumah.

Bagaimanapun, peralatan yang digunakan untuk berniaga musnah sama sekali.

“Buat masa ini, saya buntu fikir keadaan kami sekeluarga sebab tak ada tempat berteduh.

“Paling sedih, pakaian sekolah anak-anak juga terbakar,” katanya ketika menerima lawatan Adun Panching, Datuk Mohd Zaili Besar.

Noor Azlina berkata, kelengkapan persekolahan anak-anaknya berusia lima hingga 14 tahun itu sudah dibeli lebih awal hasil jualan nasi lemak.

Katanya, rumah arwah neneknya itu diduduki selepas bercerai empat tahun lalu.

“Buat sementara waktu, saya tumpang rumah bapa saudara, Basir Mohamad Sulung yang tinggal berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaili berkata, bantuan segera daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu tunai RM1,000 dan barang keperluan diserahkan kepada Noor Azlina.

“Saya minta pemimpin setempat kenal pasti penempatan sementara atau rumah sewa untuk keluarga ini tinggal.

“Selain itu, bantuan persekolahan juga akan diberikan dalam masa terdekat bagi meringankan beban ibu tunggal terbabit,” katanya.

Mohd Zaili berkata, ibu tunggal itu akan disenaraikan dalam program e-Kasih agar dapat menerima bantuan sewajarnya terutama untuk meneruskan jualan kecil-kecilan yang diusahakan.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor