KUALA LUMPUR, 10 Dis - Kepimpinan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang terus kukuh dan teguh di dalam parti adalah kunci utama kepada kekuatan kerajaan, kata Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Menteri Kesihatan itu berkata sokongan kuat berterusan anggota parti kepada Najib yang juga Perdana Menteri, akan membantu kerajaan memacu pembangunan negara terutama bagi mencapai status negara maju dalam masa lima tahun lagi.
"Kepimpinan Datuk Seri Najib dalam UMNO masih kukuh dan terus mendapat sokongan. Itu satu perkara sangat mustahak kepada pentadbiran negara dan keseluruhannya," kata beliau ketika ditemui pemberita selepas mengikuti Ucapan Dasar Presiden UMNO pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2015 di sini hari ini.
Dr Subramaniam berkata Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO menggunakan perhimpunan dihadiri 2,654 perwakilan dari 191 Bahagian UMNO itu untuk menjelaskan pelbagai perkara termasuk mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
"Beliau (Najib) sendiri dengan berani dan terbuka memberi penjelasan setiap isu dan ini sekali gus membuktikan segala tuduhan tentang perjalanan perhimpunan ini tidak berasas," katanya.
Sementara itu Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menyifatkan ucapan dasar Najib sebagai bernas dan berjiwa besar, sekali gus membuktikan Presiden UMNO itu seorang pemimpin yang mementingkan perpaduan dalam parti.
Beliau berkata MCA sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) berharap angota UMNO terus bersemangat dalam memastikan perpaduan terus dipelihara demi kelangsungan parti dan bukan untuk kepentingan diri sendiri.
"Semua anggota UMNO perlu bekerjasama membantu Presiden untuk menjayakan agenda pembangunan negara," katanya.
Bagi Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, ucapan dasar Presiden UMNO pada perhimpunan kali ini, bukan sahaja membakar semangat perwakilan, malah semangat parti komponen BN untuk meneruskan perjuangan membela nasib rakyat.
Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah yakin senario dalaman yang dihadapi UMNO ketika ini mampu diselesaikan dengan segera.
"Kami menyokong Perdana Menteri kerana kami adalah parti komponen BN. Namun, kita tidak berpihak kepada sesiapa kerana perkara ini (kemelut) harus diselesaikan oleh pihak-pihak yang terlibat di dalam parti," katanya.
Senada dengan Pairin ialah Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup yang berpendapat ucapan Presiden UMNO itu mencakupi kepentingan semua parti komponen BN bukan sahaja kepada anggota UMNO.
"Saya berpendapat ucapan perdana menteri itu cukup memberangsangkan kerana ucapan itu bukan sahaja memberi galakan kepada UMNO, tetapi kepada semua dalam BN," katanya.
Pada peringkat BN, Kurup yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata semua parti komponen seharusnya berganding bahu bergerak dalam satu pasukan terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Sementara itu, Presiden MyPPP Tan Sri M Kayveas berpendapat pemikiran mendahulukan parti dan semangat kesetiaan parti yang disebut oleh Najib, perlu diterap oleh setiap anggota UMNO sekiranya mahu mencapai kejayaan pada masa depan.
"Kesetiaan kepada parti dan kepimpinan itu amat penting dan saya setuju dengan pendapat Najib kerana sebuah parti mesti ada satu suara agar parti itu boleh bergerak ke hadapan.
"Kalau kita bersatu baru kita kuat, kalau kita berpecah kita akan lemah, dan kita kena menang pada PRU akan datang," katanya.
Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) Datuk S Nallakaruppan pula menyifatkan ucapan Najib itu sebagai satu ucapan 'berani' yang mampu membawa penyatuan kepada orang Melayu termasuk para pemimpin parti.
Nallakaruppan juga berharap rakyat Malaysia akan terus memberi peluang kepada Najib untuk memegang tampuk kepimpinan negara dalam tempoh jangka panjang.
"Tun Dr Mahathir Mohamad pun jadi perdana menteri selama 22 tahun, dia (Najib) baru berapa tahun, berilah dia 10 tahun lagi...mungkin, tengok sama ada dia boleh buat atau tidak boleh buat.
"Tetapi semua rakyat Malaysia tahu kepimpinan Najib sudah kuat. Lihat sahaja ucapannya hari ini yang begitu berani," katanya
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor