Perhimpunan Agung UMNO 2015 telah berakhir. Namun apa yang dihajatkan para perwakilan, ahli akar umbi mahupun semua penyokong UMNO di seluruh negara untuk melihat perpaduan di kalangan pucuk pimpinan tertinggi parti tidak kesampaian.
Walaupun Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak merintis salam damai kepada beberapa pemimpin yang sepatutnya membantu beliau, nampaknya ia seakan-akan tidak dipedulikan pihak berkenaan.
Salam yang dihulur Presiden secara zahirnya mungkin bersambut, tapi ikhlaskah di dalamnya? Mungkin terpaksa disambut kerana salam dihulur di depan para perwakilan? Apatah lagi jika diharapkan untuk memeluk Presiden, bukan? Mungkin sebab itulah ramai yang kecewa kerana tiada keikhlasan di hati sebelah pihak sana…
Sebenarnya, penulis melihat perkara itu merupakan sesuatu yang biasa bagi mana-mana parti. Apabila wujud tindakan dari mana-mana pemimpin yang cuba mencabar kedudukan Presiden, selalunya itulah yang berlaku.
Sekiranya dirujuk kembali ketika mana Tengku Razaliegh Hamzah cuba mencabar kepimpinan Tun Dr Mahathir dahulu, perkara yang sama juga berlaku. Pepecahan memang tidak dapat dielak ketika itu sehingga menyaksikan wujudnya ‘team A’ dan ‘team B’, insiden keluar parti dan tertubuhkan parti serpihan UMNO, Semangat 46.
Begitu juga pepecahan yang berlaku apabila bekas Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Anwar Ibrahim cuba menggugat kedudukan Dr Mahathir dulu. Bezanya, belum sempat cabar, dia awal-awal lagi disumbat masuk ke penjara. Terlepas jenayah liwat pemandunya, dia disabit kesalahan salah guna kuasa…
Perkara yang sama juga berlaku di dalam sketsa ‘pembersihan’ PAS baru-baru ini. Pepecahan berlaku sebelum muktamar PAS berlangsung. Bila kumpulan Mat Sabu kalah teruk, mereka keluar parti dan tubuh parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (Amanah).
Untuk apa media bertanya Timbalan Presiden atau Naib Presiden sama ada mereka akan meminta maaf pada Presiden atau tidak? Tidak perlu ditanya pun soalan itu. Jika mereka sedar tentang kesalahan mereka, tidak perlu disuruh atau ditanya, pasti mereka sendiri yang akan memulakan salam seraya meminta maaf secara terbuka.
Asasnya, mereka tidak sedar tentang kesalahan tersebut. Pada mereka, tindakan mempertikai atau mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan Presiden adalah satu tindakan yang benar. Pada mereka, memburuk-burukkan pendirian Presiden dan parti adalah benar.
Pada mereka, mengkritik dan menjejaskan imej Presiden secara terbuka adalah satu tindakan yang ‘berani’ bagaikan pahlawan. Pada mereka, mereka sajalah yang benar, tiada yang tidak benar melainkan yang benar-benar belaka.
‘Hero’ sangatkah mereka? Memalukan keluarga UMNO begitu di depan rakyat maka ia akan mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti? Meruntuhkan kepercayaan rakyat dan ahli kepada Presiden akan menjadikan UMNO semakin kuat di pandangan rakyat? Kenapa begitu dangkal sekali pemikiran mereka?
Meskipun Tun Abdullah Ahmad Badawi ‘berkorban diri’ ketika dijatuhkan Dr Mahathir sebelum ini, apakah Barisan Nasional berjaya meraih kerusi 2/3 di Parlimen? Penulis tahu kerusi UMNO bertambah dan mendapat lebih sokongan, tapi bagaimana dengan sokongan dari keseluruhan rakyat?
Contohnya Dr Mahathir mendakwa masyarakat Cina akan kembali menyokong BN jika Pak Lah berjaya diturunkan dari jawatan Perdana Menteri. Benarkah itu berlaku pada PRU ke-13 yang lalu? Cuba rujuk statistik. Tapi seperti biasa, takkanlah Dr Mahathir mahu akui salahnya, bukan?
Penulis optimis, Muhyiddin akan mencabar kedudukan Najib pada pemilihan UMNO yang akan datang. Mungkin beliau sudah mula ‘pasang kaki’ di seluruh negara. Tapi pada penulis, itulah yang menandakan demokrasi itu masih wujud lagi di dalam UMNO. Mungkin Muhyiddin atau Dato’ Seri Shafie Apdal tidak dipecat bagi mencabar Najib nanti, kan?
Tapi UMNO merupakan sebuah parti yang kaya dengan pengalaman. Biar berpecah bagaimana pun sekali, walau pernah ‘mati hidup semula’, namun UMNO tradisinya terbukti tetap diyakini oleh majoriti rakyat Malaysia. PKR ada? DAP ada? Amanah?
Justeru itu, penulis berharap supaya semua ahli UMNO mahupun penyokong tidak cepat melatah atau gundah gulana. Apa yang berlaku mungkin ada hikmahnya. Penulis faham, selaku seorang yang hampir ‘expired’ karier politiknya, sudah tentulah Muhyiddin bercita-cita untuk duduk di kerusi Perdana Menteri…
Cuma saranan penulis, jika mahu berkempen pun, kempenlah cara sihat dan benar. Ikut cara Islam, jangan ikut cara Yahudi. Janganlah ambil ‘fakta’ dari Sarawak Report yang sudah diubah suai menjadi fitnah. Itu bukan cara Islam, itu cara Yahudi.
Jika mahu bertanding sekalipun, janganlah burukkan peribadi. Di sebelah sana pun bukannya ‘bersih’ sangat. 22 tahun mentadbir negara pun, banyak juga ‘kekotoran’ yang ditinggalkan. Jadi Menteri Besar di Johor dan beberapa kementerian pun, mungkin ada juga ‘kotoran degil’ yang belum terdedah, bukan?
Sebaliknya, bertandinglah cara sihat. Kita bersaudara, buatlah cara saudara. Penulis yakin, takdir Allah SWT itu lebih ‘aula’. Tapi kalau tewas nanti, janganlah buat parti baru pula. Jangan ikut jejak langkah Anwar atau Mat Sabu. Buruk sangat nampaknya nanti, kan?
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor