Dua jaringan gol penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri membantu Merah Kuning merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali ke-33 apabila menewaskan Kedah 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Kejayaan selesa itu turut membantu Selangor menamatkan penantian selama 10 tahun penyokong The Red Giants setelah kali terakhir mereka menjulang Piala Malaysia adalah pada tahun 2005.
Lebih manis, kejuaraan hadiah paling bermakna untuk Sultan Selangor, Sharafuddin Idris Shah yang menyambut hari keputeraan baginda yang ke-70, semalam.
Selangor sebelum ini merangkul Piala Malaysia sebanyak 32 kali iaitu pada 1922, 1927, 1928, 1929, 1935, 1936, 1938, 1949, 1956, 1959, 1961, 1962, 1963, 1966, 1968, 1969, 1971, 1972, 1973, 1975, 1976, 1978, 1979, 1981, 1982, 1984, 1986, 1995, 1996, 1997, 2002 dan 2005.
Pada perlawanan yang disaksikan lebih 70,000 penyokong, Selangor tidak menunggu lama untuk mendahului lawan apabila hantaran Guilherme De Paula Lucrecio kepada Hazwan Bakri mudah menewaskan penjaga gol Kedah, Mohd Firdaus Muhammad pada minit keempat.
Tersentak dengan gol awal tuan rumah, Kedah mula mengatur gerakan bagaimanapun kecewa apabila lorongan Sandro Da Silva dari sebelah kanan gagal disudahkan tepat Syazwan Zainon di depan pintu gol pada minit kelapan.
Tidak cukup dengan itu, giliran Liridon Krasniqi pula untuk menghasilkan gol buat Kedah namun terus gagal apabila ketangkasan penjaga gol Selangor, NorAzlan Razali berjaya menyelamatkan gol mereka dibolosi pada minit ke-24.
Di sebalik serangan Lang Merah pada babak pertama, kebijaksanaan Selangor melancakan serangan kilat juga hampir membuahkan hasil, namun rembatan deras pemainnya berjaya ditepis keluar Firdaus pada minit ke-32 dan keputusan tersebut kekal di separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Selangor terus mengukuhkan kedudukan mereka apabila Ahmad Hazwan sekali lagi muncul watak penting dengan meledak gol peribadi keduanya pada minit ke-47 setelah menerima hantaran daripada rakan sepasukannya ketika dalam kotak penalti lawan.
Keputusan itu sekali gus menggembirakan lebih 31,000 penyokong Merah Kuning yang hadir menyaksikan perlawanan berkenaan.
Kedah cuba menukar strategi apabila jurulatih Tan Cheng Hoe membawa keluar Muhd Syazwan Tajuddin dengan memasukkan Muhd farhan Roslan namun usaha tersebut belum cukup untuk membolosi gawang Selangor.
Peluang terbaik Kedah untuk memecah kebuntuan gol sekali lagi hadir namun tandukan Farhan yang menerima hantaran daripada rakan sepasukan hanya melambung tinggi pada minit ke-64.
Usaha keras Kedah untuk merapatkan kedudukan terus menemui jalan buntu apabila beberapa percubaan pemain Lang Merah berjaya ditepis Norazlan.
Dan peluang skuad Hijau Kuning untuk sekurang-kurangnya menjaringkan satu gol bagi memberi keceriaan kepada peminat mereka yang hadir menyaksikan perlawanan juga terkubur apabila Norazlan terus menjadi penghalang mereka pada penghujung babak kedua.
Ketika permainan berbaki lima minit, Selangor hampir menggandakan jaringan namun percubaan itu gagal ditampan oleh De Paula, bagaimanapun keputusan itu sudah cukup untuk Selangor membalas dendam terhadap kekalahan kepada Kedah pada final 2008.
Turut hadir menyaksikan aksi final berkenaan adalah Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarham Sultan Badlishah yang merupakan Tunku Laksamana Kedah, Tunku Puteri Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.
Senarai pemain:
Selangor: Robert Richard Cornthwaite, Muhd Shahrom Kalam (C), Andik Vermansah (Mohd Fitri Shazwan Raduan), Leandro Dos Santos Oliveira Nazmi Faiz Mansor, Ahmad Hazwan Bakri (S.Veenod), Guilherme De Paula Lucrecio, Abdul Hadi Yahaya (K.Gurusamy), Mohd Raimi Md Nor, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Norazlan Razali.
Kedah: Seungwhan Bang, Shafizan Hashim (Muhd Syafiq Ahmad), Baddrol Bakhtiar, Chidi Edeh, Khairul Helmi Johari (C), Mohd Rizal Ghazali, Muhamad Syazwan Tajudin (Muhd Farhan Roslan), Mohd Syazwan Zainon, Mohd Firdaus Muhamad (M.Shazwan Abdullah), Liridon Krasniq, Sandro Da Silva Mendonca
Pengadil: Muhammad Nazmi Nasaruddin
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor