Kota Tinggi - Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang ditemui berseorangan di tepi Jalan Mawai-Kuala Sedili petang kelmarin, bernasib baik kerana pihak polis yang menjumpainya sekali gus menyelamatkannya daripada menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kanak-kanak itu dijumpai dua anggota Balai Polis Mawai ketika sedang meronda di Batu 12 Kampung Mawai Baru.
“Anggota kita terlihat kanak-kanak tersebut berseorangan di jalan terbabit. Oleh kerana kawasan itu berhampiran ladang sawit dan kanak-kanak itu tidak memberikan sebarang respons ketika ditanya, maka anggota kita membawanya ke Balai Polis Mawai untuk tindakan lanjut.
“Pihak polis membuat hebahan maklumat kepada penduduk sekitar dengan menunjukkan gambar kanak-kanak itu untuk mengesan keluarga atau penjaganya. Pada jam 4 petang, penjaga kanak-kanak terbabit berjaya dikesan.
“Kita dapati jarak lokasi kanak-kanak itu dijumpai dari rumah ibu bapanya lebih kurang satu kilometer,” katanya.
Tambahnya, pihak polis kemudian menyerahkan kanak-kanak itu kepada keluarganya dalam keadaan selamat.
Rahmat berkata, ibu bapa atau penjaga dinasihati agar sentiasa mengawasi pergerakan kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing agar tiada ruang serta peluang bagi penjenayah mengambil kesempatan.
Katanya, pengabaian kanak-kanak merupakan kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
“Kanak-kanak perlu sentiasa diberi nasihat dan dilatih menjaga keselamatan diri dan sekiranya perlu, penjaga harus dapatkan pembantu atau pengasuh yang sesuai,” katanya lagi.
Jelasnya, orang ramai diharap lebih peka dalam menjaga anak-anak di bawah umur dan diharapkan kejadian tersebut dapat dijadikan iktibar.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor