Fenomena bah yang berlaku pada Disember tahun lepas sehingga Januari awal tahun ini banyak memberi impak kepada penduduk yang tinggal di persisiran sungai utama di daerah ini, terutamanya kawasan rendah yang mudah dinaiki air.
Bagi penduduk Kampung Kuala Triang, kejadian mencemaskan itu merupakan bah kedua terbesar selepas tahun 1971 apabila sebahagian kampung itu ditenggelami banjir melebihi dua meter dalam tempoh hampir satu bulan.
Kronologi bencana banjir di daerah ini bermula dari pada tahun 1971, 1988, 2007, 2013 dan 2014 termasuk Januari 2015.
Sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan banjir hujung tahun ini, ada penduduk yang mengambil pendekatan mengeluarkan modal yang agak besar untuk membina rumah rakit bagi menyelamatkan harta benda masing-masing.
Sinar Harian bersama wakil penduduk, Abd Razab Wahab meninjau persediaan penduduk menghadapi kemungkinan banjir di sekitar kampung ini.
Seorang penduduk, Mohd Jaafar Pilus, 67 berkata, kerugian besar yang dialami semasa bah pada tahun lepas memaksanya mengambil keputusan membina rumah rakit yang juga berfungsi sebagai stor.
“Air naik cepat sehingga mencecah lebih 150 meter, dan pakcik langsung tidak dapat selamatkan barang-barang termasuk barangan elektrik.
“Semua barangan elektrik rosak tak boleh guna. Jadi, pakcik buat rumah rakit ini untuk simpan barang-barang kalau air naik, biarlah terpaksa keluar modal sedikit asalkan tak rugi setiap kali banjir,” katanya.
Mohd Jaafar membelanjakan RM15,000 untuk menyiapkan rumah rakit itu dan kini dia dalam proses menyimpan barang-barangan tertentu bagi mengelakkan kekalutan.
Katanya, barangan elektrik atau barangan keperluan akan disimpan di dalam rumah rakit itu sekiranya air naik berdasarkan pemerhatian mereka terhadap kenaikan air di sungai-sungai utama dekat sini.
Sementara itu, Jamarun Mahusin, 61, memberitahu terdapat kira-kira 23 rumah yang terletak di Kubang Siul ini yang akan terkena limpahan air Sungai Pahang atau Sungai Triang memandangkan ia merupakan kawasan paling rendah di perkampungan ini.
Menurutnya, semasa kejadian banjir tahun lepas, air sungai yang melimpah ruah menyebabkan rumah-rumah di sini ditenggelami banjir dan hanya sebahagian bumbung rumah (dua tingkat) sahaja yang kelihatan.
“Air naik (di kawasan ini) perkara biasa, kami dah boleh agak sama ada air akan naik besar atau tidak. Tapi, kali ini saya mengambil langkah bersedia awal dengan membina rumah rakit dengan kos RM13,000 tidak termasuk upah pekerja.
“Apa yang penting, semasa banjir nanti, saya boleh selamatkan peralatan bengkel,” katanya.
Jamarun berkata, pada tahun-tahun sebelumnya, dia terpaksa mengangkut peralatan bengkel menggunakan lori ke kawasan selamat.
Katanya, memandangkan rumahnya sering dinaiki air, dia mengambil keputusan tidak membeli sembarangan barangan perabot atau elektrik yang banyak tetapi cukup untuk digunakan mereka sekeluarga.
“Hampir setiap tahun kawasan ini dinaiki air, jadi saya memang tak beli barang-barang yang banyak dalam rumah sebab susah nak bawa pindah.
“Tetapi, kalau sudah ada rumah rakit ini, setidak-tidaknya, saya juga boleh simpan pakaian supaya tidak kotor atau rosak ditenggelami banjir,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor