Pages

Sunday, December 20, 2015

[BENTONG] 10 RUMAH PAPAN MUSNAH TERBAKAR DI KARAK

Kebakaran



Sebanyak 10 buah rumah papan musnah dalam kebakaran di Kampung Baru Cina, di Karak malam tadi.

Penguasa Bomba II Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Ashrul Riezal Asbar berkata kebakaran dipercayai berpunca dari bahagian dapur salah sebuah rumah di bahagian tengah sebelum merebak ke rumah bersebelahan.

"Kebakaran melibatkan 41 mangsa termasuk seorang kurang upaya. Bagaimanapun tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan. Kerugian awal dianggarkan berjumlah RM650,000," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.07 malam dan tiga pegawai, 20 anggota bersama 19 anggota bomba bantuan dari balai Karak, Bentong, Manchis, Perting, Temerloh dan Maran dikejarkan ke tempat kejadian. 

Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Karak dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Api berjaya dipadamkan pada pukul 2.25 pagi. Antara masalah yang dihadapi ialah kawasan perumahan yang terlalu sempit dan kedudukan rumah terlalu rapat menyebabkan api marak dengan cepat," katanya. 

Ashrul Riezal berkata jabatan bomba telah menubuhkan Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) di lokasi bertujuan mengumpul maklumat dan menyalurkan bantuan kepada mangsa.

Mangsa kini ditempatkan di rumah saudara atau jiran berhampiran.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor