Pages

Sunday, December 20, 2015

[BENTONG] 10 JAM TERKANDAS DALAM HUTAN

10 jam terkandas dalam hutan



Detik cemas 10 rakan terkandas di kawasan hutan Lata Hammer, jalan lama Bentong-Kuala Lumpur selama hampir 10 jam, berakhir apabila kesemua mereka berjaya diselamatkan, awal pagi semalam.

Kesemua mangsa berusia antara 14 hingga 40 tahun dari Kuala Lumpur itu difahamkan datang ke kawasan berkenaan untuk memancing.

Mereka terkandas kira-kira jam 6 petang kelmarin selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki gagal keluar disebabkan laluan licin dan berlumpur akibat hujan lebat.

Operasi menyelamat mangsa terkandas yang dilakukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bersama pasukan bomba dan pihak polis mengambil masa kira-kira tiga jam disebabkan keadaan cuaca serta laluan yang sukar.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah, SM (PA) Mohd Zulkhairi Adek Awang berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak bomba kira-kira jam 12 tengah malam memaklumkan berhubung kejadian.

Menurutnya, sepasukan anggota tiba di lokasi untuk operasi menyelamat kira-kira jam 1.50 pagi dan berjaya mengesan kesemua mangsa bersama dua kenderaan yang terperangkap.

“Mangsa yang berada dalam keletihan diberikan minuman oleh pasukan penyelamat yang tiba sebelum usaha membawa mereka keluar dimulakan jam 2.35 pagi.

“Semua mangsa berjaya dibawa keluar dan tiba di balai polis berhampiran kira-kira jam 4 pagi,” katanya.

Mohd Zulkhairi berkata, usaha membawa keluar kenderaan mereka berjaya dilakukan dengan bantuan Kelab Trekker 4x4 Bentong.





No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor