DALAM senyap, nampaknya pemikiran songsang kumpulan 25 anak Melayu penjawat awam elit atau G25 cuba meliberalkan ajaran Islam semakin membongkar dalang sebenar yang menjadi ‘mastermind‘ aliran sesat ini.
Asalnya, ramai pada mula hanya merujuk kepada usaha Dr. Dzulkefly Ahmad, Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (PAN) yang aktif anjur pelbagai forum berkaitan Islam dalam perspektif demokrasi sejak akhir-akhir ini.
Khabarnya ada pihak tertentu mula-mula menegur dan mengatakan Dzulkefly tidak pernah kata macam itu pun. Kemudian ada yang mendakwa agak janggal G25 yang rata-rata penyokong UMNO mahu ‘bersama’ dengan PAN.
Memang susah untuk kita berhujah dengan orang yang hanya melihat isu pada satu lapisan atau satu sudut sahaja tanpa menoleh daripada pelbagai sudut atau lapisan berbeza walhal inilah cuba diserap secara halus oleh G25.
Tanpa publisiti, G25 berjaya mengenengahkan Islam Liberal atau Islam Demokrat sebagai satu aliran pemikiran Islam yang sebenarnya sesat tetapi kian berkembang dalam kalangan cerdik pandai Melayu Islam di Malaysia.
Dalam bahasa mudahnya golongan profesional Melayu ini yang selama ini disangkakan sebagai penyokong UMNO tanpa disedari cuba ‘menghancurkan’ parti pemerintah itu dari dalam malah bersekongkol dengan PAN dan DAP.
Untuk rekod, PAN yang keluar daripada PAS sebagai serpihan kerana idea dan pemikiran liberal tidak berjaya ‘diserap’ sepenuhnya dalam PAS disebabkan ada halangan besar terutama pihak disebut sebagai golongan ulama.
Ini bukan baharu. Tidak perlulah disebut siapakah bekas pemimpin PAS itu tetapi bagi ahli tegar parti tersebut, aliran pemikiran bebas itu menyebabkan organisasi siasah Islam ini pernah hampir ‘lari’ daripada perjuangan
Lucunya, yang bergaduh dalam laman sosial Facebook serta media sosial lain seperti WhatsApp itu hanya ‘bunga-bunga’ sahaja. Isu kerajaan perpaduan UMNO-PAS dan lain-lain sekadar ‘percikan’ daripada perkara asas ini.
Terbaharu G25 berani menganjurkan Forum Maqasid Syariah Dalam Demokrasi Perlembagaan bersama-sama dengan badan pemikir milik kerajaan negeri Pulau Pinang iaitu Penang Institute pada 31 Oktober lalu.
Bertempat di Olive Tree Hotel, Bayan Lepas, forum ilmiah berselindung di sebalik nama pemikiran Islam itu rupa-rupanya telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.
Ia turut dihadiri Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pertanian Kerajaan Pulau Pinang, Dr. Afif Bahardin; kedua-duanya dari PKR.
Juga Penasihat G25, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim (lihat gambar atas; duduk barisan depan dua dari kiri). Manakala lapan orang terbabit dalam menjayakan penganjuran forum kelolaan G25 ini iaitu:
1. Zairil Khir Johari, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Institute dan Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera.
2. Dato’ Abdul Malik Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kerajaan Pulau Pinang
3. Datuk Latifah Merican Cheong; G25 – bekas pembantu Gabenor Bank Negara dan Ahli Lembaga Pengarah The Asian Women’s Leadership University Project
4. Dato’ Noor Farida Mohd Ariffin; G25 – Bekas Ketua Pengarah Penyelidikan, Triti dan Jabatan Undang-undang Antarabangsa, Kementerian Luar Negeri Malaysia.
5. Dato’ Seri Mohd. Nazir bin Tun Abdul Razak; G25 – Pengerusi CIMB Group
6. Dato’ Dr. Anwar Fazal; G25 – Pengerusi dan Perancang The Malaysian Interfaith Network serta Inisiatif Kelestarian Pulau Pinang
7. Dato’ Dr. Sharom Ahmat; G25 – Pengerusi SERI (Socio-economic and Environmental Research Institute) nama lain kepada Penang Institute.
8. Dr. Dzulkefly Ahmad, Pengarah Strategi Parti Amanah Negara.
Baca: Ahli G25 Perlu Pandai Cari Tanah Kubur Sendiri – Tuan Asmawi
Juga: Insafi Kisah Nasib Umat Melayu Islam Di Singapura
Lanjutan daripada forum Maqasid Syariah ini, satu lagi forum berkenaan diadakan pada 5 Disember bertajuk Islam Dalam Demokrasi Berperlembagaan di bangunan Persatuan Alumni Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Forum ini menjadi kontroversi apabila beberapa ahli G25 lantang mempersoalkan pelbagai perkara berkaitan undang-undang jenayah Islam termasuk tangkapan kes khalwat yang dianggap mencabuli hak asasi manusia!
Persoalannya siapakah Zairil Khir Johari yang hebat menjadi ‘mastermind‘ dalam forum Maqasid Syariah? Kenapa penganut fahaman Islam liberal demokrasi berani berselindung di sebalik nama forum tema Maqasid Syariah?
Otai DAP, Lim Kit Siang sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila berceramah di Kota Bharu, Kelantan tahun lalu mengatakan konon negara Islam sendiri pun tidak buat hukum hudud dengan memberi contoh Mesir.
Dia cuba pesong akidah umat Islam yang terpukau seolah-olah kita kena rujuk terlebih dahulu kepada Mesir berbanding rujuk panduan daripada kitab suci Al Quran untuk pelaksanaan undang-undang jenayah syariah itu.
Siapakah yang membawa DAP untuk ‘hentam’ hudud di Kelantan atas pentas milik PAS sendiri. Hakikatnya ini semua kerja geng G18 yang kemudian dikenali menjadi perintis kepada penubuhan PAN sebagai serpihan PAS.
Siapakah boleh berhujah untuk memberi keyakinan bahawa DAP buat semua ini semata-mata mahu memenuhi agenda tersirat Maqasid Syariah demi mendekatkan diri dengan Islam serta konon sebagai mesra ajaran Islam?
Hakikatnya cuma orang bodoh percaya G25 dan usah lupa dakwaan DAP konon mereka menegakkan syiar Islam, padahal waktu sama pecat ahli JKKK dan sekat bantuan kepada sekolah agama rakyat milik lawan mereka, PAS.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor