Pages

Thursday, November 12, 2015

TARIF AIR: JANGAN AMAL SIKAP HIPOKRIT


Abdul Khalid Ibrahim


Shah Alam - Pemimpin Pakatan Harapan digesa menghentikan sikap hipokrit dan berdolak-dalih apabila terus ‘diam seribu bahasa’ ketika berdepan dengan kepincangan di ‘rumah’ sendiri berbanding tindakan mereka yang tidak melepaskan peluang menggasak dan menghentam BN.

Bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata apabila diberi peluang dengan kawalan dan kuasa penuh dalam kerajaan negeri khususnya di Selangor, mereka perlu membuktikan keupayaan mengurus industri perkhidmatan air dengan lebih baik berbanding BN.

Beliau berkata, pengumuman Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali bahawa tarif air di Selangor bakal dinaikkan sebaik sahaja proses penyusunan semula selesai didakwa bercanggah dengan tujuan asal pengambilalihan industri perkhidmatan air daripada syarikat konsesi.

“Saya yakin banyak lagi usaha yang perlu dan boleh dilakukan sebelum langkah drastik menambah beban rakyat akibat lonjakan kos sara hidup dengan menaikkan tarif air sebaik sahaja proses pengambilalihan selesai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Azmin berkata Kerajaan Selangor tetap akan menaikkan tarif air setelah proses pengambilalihan keempat-empat syarikat konsesi air di negeri ini selesai.

Azmin berkata, sehingga kini hanya Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) masih dalam proses rundingan pengambilalihan, manakala tiga lagi konsesi iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS) dan Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB) sudah dimuktamadkan.

Abdul Khalid yang juga Adun Pelabuhan Klang menegaskan, sebagai pemilik mutlak, kerajaan negeri tidak perlu mematuhi terma dan syarat yang terkandung dalam Perjanjian Konsesi atau mengikut kaedah operasi lama yang dipraktikan oleh syarikat konsesi.

“Mereka mempunyai kuasa menetapkan kaedah 'pricing' dan costing' yang baharu di setiap peringkat operasi sebagai salah satu strategi kawalan kos keseluruhan; sekaligus mengurangkan malah menghapuskan keperluan menaikkan tarif,” ujarnya.

Sehubungan itu, Abdul Khalid menggesa agar satu badan pengawasan bebas industri air ditubuhkan bagi memantau metodologi penetapan tarif dan mutu perkhidmatan di Selangor.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor