Pages

Wednesday, November 11, 2015

PENYAMUN MAUT SELEPAS SAMUN AHLI PERNIAGAAN


pdrm


Johor Bahru - Dua penyamun maut dalam kemalangan beberapa minit selepas menyamun seorang ahli perniagaan apabila kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Taman Pelangi, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, pada kejadian jam 11.30 malam itu, ahli perniagaan berusia 33 tahun berkenaan disamun ketika mangsa turun dari keretanya untuk membeli makanan di Jalan Abaid di taman itu.

Seorang lelaki bersenjata parang berukuran kira-kira 30 sentimeter tiba-tiba menghampirinya dan merampas beg sandang dibawanya, sebelum melarikan diri dengan kereta Toyota Vios yang dipandu lelaki lain, katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Mangsa kemudian mengejar suspek dengan keretanya hingga ke Jalan Kuning namun apabila menyedari diekori, suspek memecut kenderaan ke arah Taman Pelangi sebelum terbabas ke kanan jalan.

"Akibat gagal mengawal kenderaannya, kereta suspek bertembung pula dengan kenderaan pacuan empat roda Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dinaiki dua pekerja yang datang dari arah bertentangan.

"Berikutan pertembungan itu, kedua-dua suspek meninggal dunia di tempat kejadian manakala pekerja TNB berkenaan masing-masing cedera di kepala dan patah kaki kanan," katanya.

Sulaiman berkata polis telah berjumpa dengan mangsa sebaik dimaklumkan kejadian itu dan turut menemui beg sandangnya yang mengandungi dokumen diri dan wang tunai RM200.

Sebilah parang yang digunakan untuk mengugut mangsa juga ditemui.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berusia 28 dan 34 tahun dan merupakan pengganggur.

Seorang daripada mereka juga didapati mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata parang dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor