Pages

Sunday, November 1, 2015

'PAS TAK MELENTING, ITU HAK DAP'


Mustafa Ali


Shah Alam - Pas menafikan partinya 'melenting' apabila DAP menyatakan hasrat untuk turut meletakkan calon pada PRU14 di kerusi Pas di Selangor.

Pengarah Pilihanrayanya, Datuk Mustafa Ali berkata, DAP mahupun Pas mempunyai hak untuk bertanding di mana-mana kerusi pun di negara ini.

"Kita (Pas) tiada masalah. Itu hak DAP nak tanding di mana-mana pun. Hak Pas juga kalau nak tanding mana-mana. Semua orang bebas.

‎"Negara demokrasi kan? Bebaslah nak tanding mana-mana," katanya kepada Sinar Online.

Soal 'kacau' kerusi pernah dibangkitkan Pas sebelum ini apabila pimpinannya menyuarakan hasrat untuk meletakkan calon Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) di kerusi DAP.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua pula mengumumkan parti itu telah bersedia meletakkan calon sekaligus untuk bertanding di lapan kerusi Dun di Selangor yang kini disandang Pas.

Menurut Mustafa, Pas tetap akan mempertahankan semua kerusi yang ditandingi termasuk di Selangor untuk pilihanraya akan datang tanpa gentar siapa pun lawan yang bakal dihadapi kelak.

"Terpulanglah. Kita (Pas) akan tetap pertahankan kerusi kita. Siapa nak lawan, lawanlah. Itu hak dia. Siapa-siapa pun bebas bertanding.

"Cuma saya fikir DAP buat kenyataan itu tidak bincang pun dengan rakan Pakatan Harapan dia.

"Sebab kalau nak diikutkan, masalah kerusi ini orang tak bincang awal-awal. Dah nak dekat (pilihan raya) nanti baru bincang," katanya.

‎‎Ketika diminta mengulas kemungkinan 'penyakit mengacau' itu merebak ke negeri lain, bekas Setiausaha Agung Pas ini mengingatkan DAP bahawa parti itu mempunyai ikatan dengan Pakatan Harapan.

"Itu saya tak tahu. Kena tanya DAP. Hak dia untuk tanding mana-mana. Begitu juga Pas. Semua orang bebas...cuma DAP ada Pakatan (Harapan).

"Kebiasaannya dia (DAP) kena bincang dengan Pakatan. Saya tidak fikir dia (DAP) bincang dengan PKR dengan Amanah (tanding lapan kerusi di Selangor).

"Saya anggap DAP ini begitulah sikapnya. Dia merasakan yang lain itu begitu sahajalah...Dia boleh buat keputusan tanpa berunding pun," katanya.

Menurut Mustafa lagi, secara logik Pas perlu melawan calon BN bukannya calon dari parti pembangkang.

Namun hasrat DAP yang akhirnya mahu meletakkan calon sendiri di lapan kerusi Selangor didakwa Mustafa seolah-olah menunjukkan ketidakyakinan DAP dengan kemampuan calon Amanah.

"DAP mahu yang menggantikan Pas ini, Amanah. Sepatutnya yang lawan Pas itu BN lah. Secara logiknya. Bukan gantikan Pas.

"Tapi cara DAP ini seperti tidak percaya dengan keupayaan Amanah untuk melawan Pas," katanya.

Lapan kerusi di Selangor yang disebut-sebut itu ialah Taman Templer, Lembah Jaya, Sri Serdang, Meru, Cempaka, Dusun Tua, Tanjung Sepat dan Paya Jaras.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor