Johor Bahru - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan SRC International dan dana RM2.6 bilion yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, pihaknya sedang menunggu tarikh sesuai untuk menemu bual pemimpin berkenaan.
“Pihak SPRM telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri mengenai perkara itu (untuk menemu bual) dan dimaklumkan bahawa Perdana Menteri telah bersetuju pada prinsipnya untuk ditemu bual dan diambil keterangan.
“Jadi, kita sedang menunggu tarikh untuk menemu bual beliau (Perdana Menteri) bagi memberi penjelasan berhubung isu-isu yang berkaitan dengan siasatan,” katanya pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 16 Bil 2/2014 (Penolong Penguasa Gred P29) dan Siri 17 Bil 3/2014 (Penguasa Gred P41), di sini, semalam.
Pada majlis berkenaan, seramai 109 kadet baharu mengakhiri Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM selama setahun.
Abu Kassim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali seperti disiarkan di dalam sebuah portal berita yang menyatakan SPRM mempunyai tempoh hingga akhir tahun ini untuk merakamkan kenyataan Perdana Menteri.
“SPRM menyasarkan untuk melengkapkan siasatan kes SRC International sebelum akhir tahun ini dengan syarat boleh akses kepada dua pengarah SRC International, saksi penting yang masih berada di luar negara dan diambil keterangan daripada mereka.
“Pegawai-pegawai SPRM sedang bekerja keras untuk menyiapkan kertas siasatan mengikut tempoh yang disasarkan oleh SPRM,” katanya.
Dalam pada itu, berkaitan dengan siasatan dana RM2.6 bilion beliau berkata, pihaknya memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan kerana kebanyakan transaksi berlaku di luar negara yang mana ia memerlukan proses Mutual Legal Assistance (MLA).
“Kita memerlukan masa untuk mendapatkan kerjasama beberapa pihak dari luar negara dan tidak akan berkompromi dari segi kepentingan bukti dan saksi-saksi yang penting selain memaklumkan status siasatan kepada badan-badan yang memantau perjalanan SPRM dari semasa ke semasa.
“Sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas, SPRM mengambil kira harapan semua pihak termasuk kenyataan Majlis Raja-raja Melayu pada awal Oktober 2015 bagi memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional mengikut Akta SPRM 2009,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor