Ipoh - Dun Perak berkemungkinan terpaksa memilih Speaker yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri SK Devamany yang kini menerajui MIC sebagai Timbalan Presiden.
Spekulasi mengenai Speaker Dun Perak yang baharu timbul selepas Datuk Seri SK Devamany sebelum ini menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan Speaker sekiranya menang kerusi nombor dua MIC itu.
Dengan kemenangan Devamany menewaskan lawannya, Datuk M Saravanan, kerusi Speaker Dun dijangka akan dikosongkan dan Sidang Dun minggu depan sempena pembentangan Bajet 2016 Negeri Perak mungkin yang terakhir akan dihadiri beliau.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika ditanya tentang perkara itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana belum menerima sebarang maklum balas daripada Devamany.
“Saya tidak boleh komen lebih mengenai perkara ini. Jadi kita tunggu dan lihat sahaja. Saya dengar dia pernah buat kenyataan sebelum ini.
“Saya akan bertemunya tetapi dia akan meneruskan tugas sebagai Speaker pada Sidang Dun minggu depan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di pejabatnya, di sini, semalam.
Devamany dijangka akan memberikan penjelasan mengenai isu ini esok, ketika sidang media sempena Sidang Dun yang akan berlangsung minggu hadapan.
Sementara itu, Zambry dalam satu sidang media kelmarin turut menjelaskan tidak menerima sebarang surat peletakan jawatan atau kenyataan rasmi dari Devamany berhubung jawatan Speaker Dun Perak itu.
Terdahulu, Devamany dalam kenyataannya sebelum ini menjelaskan jika menang jawatan Timbalan Presiden MIC, beliau mahu memberi tumpuan kepada parti dan agenda pembangunan masyarakat serta mengembalikan sokongan masyarakat India kepada MIC dan BN.
Devamany dilantik sebagai Speaker Dun Perak pada Jun 2013, menggantikan Datuk R Ganesan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor