Dalam usaha mengembangkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat terutamanya di kawasan pedalaman, Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) kini menyediakan sebuah trak buku bergerak kepada orang ramai.
Trak buku yang direka khas syarikat penerbitan itu kelihatan menarik dengan padanan dua warna iaitu oren dan ungu serta tertera tulisan Book2 You, mampu memenuhi minat penggemar buku di negeri ini.
Sebaik sahaja bahagian pintu trak tersebut dibuka, kelihatan tersusun rapi himpunan buku di atas ruang pameran yang telah diubahsuai dan semuanya tersedia untuk dijual kepada orang ramai.
Ketua Jabatan Jualan Langsung Group Buku Karangkraf, Mohd Firdaus Mamat berkata, konsep itu pertama kali dilancarkan Karangkraf bagi memudahkan urusan penjualan buku terutamanya ketika siri jelajah atau program dilakukan.
“Ini salah satu usaha syarikat memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat. Saya percaya atas alasan tersebut, syarikat menyediakan trak buku itu demi memastikan orang ramai terus membudayakan amalan mulia itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada program kesihatan anjuran panel penasihat bersama komuniti dan pelancaran Kospen Panching di dewan serba guna PAKR di sini, semalam.
Katanya, kos keseluruhan trak ini dianggarkan RM250,000 termasuk membina rak bagi menempatkan hampir 300 naskhah buku dengan lima hingga 10 judul buku.
“Pihak syarikat merancang sediakan empat lagi trak buku bagi memudahkan penjualan dibuat setiap kali adanya program jelajah di seluruh Malaysia.
“Dengan trak buku sebegini akan memudahkan segala urusan penjualan buku terutamanya di kawasan pedalaman,” katanya.
Pengunjung, Faridah Mat Sin, 61, berkata, trak buku secara bergerak ini memudahkan pengguna untuk mendapatkan bahan bacaan terutama penduduk di kawasan pendalaman.
“Saya akui agak sukar untuk membeli buku atau majalah di kawasan perkampungan ini, biasanya saya akan ke bandar untuk mendapatkannya.
“Tetapi hari ini semuanya senang apabila saya boleh membeli bahan bacaan menerusi trak Book2 You milik Karangkraf,” katanya.
Dia berharap agar trak buku seperti ini lebih banyak diwujudkan bagi membantu masyarakat di kawasan pendalaman mendapatkan bahan bacaan.
Sementara itu, Juli Suhaiza Mamat, 21, berkata, trak Book2 You ini memberi banyak kemudahan kepadanya untuk mendapatkan pelbagai jenis bahan bacaan.
“Ini pertama kali saya melihat trak seperti ini dan begitu teruja untuk mendapatkan buku, ternyata kebanyakan buku ilmiah ada dijual di trak ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor