Pages

Monday, November 2, 2015

[KUANTAN] TANAM 1,000 POKOK BAKAU HALANG HAKISAN TEBING


Tanam 1,000 pokok bakau halang hakisan tebing


Lebih 1,000 anak pokok bakau ditanam di sepanjang tujuh kilometer tebing Sungai Cerating oleh Persatuan Pencinta Alam (MNS) dengan kerjasama Petron dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Penyelaras program, Noor Jehan Abu Bakar berkata, usaha menanam anak pokok pakau giat dilakukan bermula 2013 iaitu selepas banjir besar.

Menurutnya, banjir besar menyebabkan banyak pokok bakau musnah sehingga menyebabkan kejadian hakisan.

“Justeru atas kesedaran itu, kita melaksanakan usaha pemuliharaan hutan paya bakau ini dengan menanam anak pokok bakau di tebing sungai yang terpilih.

“Usaha ini memerlukan komitmen tinggi memandangkan hutan paya bakau ini mungkin terjejas berikutan banjir besar,” katanya pada Program Pemuliharaan Hutan Paya Bakau di Sungai Cerating, di sini.

Noor Jehan berkata, anak pokok bakau memerlukan tempoh enam hingga tujuh bulan untuk mengeluarkan akar dan membesar.

Beliau berkata, akar pokok bakau mampu mencengkam tebing sungai seterusnya mengelak hakisan tebing daripada berlaku.

“Selepas banjir besar 2013, tebing Sungai Cerating mengalami hakisan akibat arus air sungai yang besar.

“Selain itu, kita turut pasang lima papan tanda di tebing sungai. Kita harap usaha ini dapat memulihara ekosistem paya bakau,” katanya.

Menurutnya, kerjasama daripada syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan serta komuniti setempat perlu bagi memastikan usaha ini dapat diteruskan pada masa datang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Landskap, Kebersihan dan Alam Sekitar MPK, Pang Chin Chay berkata, program pemuliharaan alam sekitar adalah salah satu agenda Local Agenda 21.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor