Pengusaha lombong bauksit di kawasan Felda Bukit Goh, Felda Bukit Kuantan dan Felda Bukit Sagu bersetuju membayar kos kerosakan yang berlaku ekoran aktiviti itu termasuk untuk kos baik pulih kerosakan jalan, pencucian dan pampasan kepada pengusaha kedai makan di kawasan itu.
Persetujuan itu dicapai selepas Mesyuarat Penerangan prosedur operasi standard (SOP) dan pemasangan pagar dan masalah semasa bauksit di sini, semalam.
Penaung Jawatankuasa Penyelesaian Masalah Bauksit Bukit Goh, Datuk Md Shohaimi Mohamed Shah berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan pihak pengusaha lombong bauksit bagi menangani isu pencemaran yang berlaku.
Menurutnya, sejak aktiviti perlombongan bauksit dijalankan, timbul banyak isu terutama soal kerosakan jalan raya dan pencemaran udara iaitu debu selain jalan kotor pada hari hujan.
“Selain setuju untuk membayar, pengusaha juga perlu akur terhadap beberapa syarat yang diputuskan jawatankuasa iaitu operasi hanya akan bermula pada jam 8 pagi hingga 6 petang sahaja.
“Mereka juga dilarang beroperasi pada hari hujan. Bagi memastikan mereka mematuhi SOP, jawatankuasa akan memantau keadaan tersebut selain mengambil alih serta melantik kontraktor untuk proses pencucian jalan yang lebih sistematik,” katanya di sini, semalam.
Md Shohaimi berkata, jawatankuasa itu turut membuat lima laluan baharu bagi tujuan lori keluar masuk dengan lebih baik dan tidak bertembung.
Adun Sungai Lembing itu turut mengingatkan pengusaha supaya tidak mengetepikan kepentingan masyarakat setempat memandangkan banyak pihak yang terjejas ekoran aktiviti itu.
Katanya, usaha jawatankuasa menetapkan SOP kepada pengusaha adalah untuk memastikan keadaan dapat ditangani secara tersusun.
“Kita harap SOP baharu yang dibuat akan dipatuhi dan sekurang-kurangnya dapat mengurangkan masalah debu, jalan kotor dan kerosakan jalan yang berlaku,” katanya.
Pada mesyuarat itu, kira-kira 30 pengusaha bauksit hadir untuk mendengar penerangan tersebut.
Sumber
Sumber
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor