Pages

Monday, November 16, 2015

[KUANTAN] ENAM GRADUAN CEMERLANG DAPAT BIASISWA PENUH


Enam graduan cemerlang dapat biasiswa penuh


Seramai enam graduan cemerlang Kolej Ikip menerima penukaran pinjaman kepada biasiswa penuh dengan jumlah keseluruhan bernilai RM141,270.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, penukaran pinjaman itu adalah sebagai penghargaan di atas kecemerlangan masing-masing.

Menurutnya, 52 graduan pula menerima penukaran pinjaman kepada separa biasiswa melibatkan hampir RM1 juta.

“Secara keseluruhannya, 62 graduan yang akan terima manfaat ini melibatkan sejumlah RM1.14 juta.

“Ini menunjukkan graduan Kolej Ikip mampu bersaing dengan cemerlang, malah ia sejajar dengan misi Yayasan Pahang yang mahu memperluaskan peluang mendapat pendidikan dan latihan berkualiti,” katanya pada Majlis Konvokesyen dan Pentauliahan Kemahiran Malaysia Ikip 2015 di sini, kelmarin.

Adnan berkata, Kolej Ikip akan melalui satu proses menaik taraf yang lebih tinggi dan dalam tempoh dua tahun lagi, Kolej Ikip akan bergelar Kolej Universiti.

Tambah beliau, proses penjenamaan semula kolej itu turut melibatkan nama baharu kolej berkenaan kepada Kolej Yayasan Pahang.

Adnan yang merupakan Pengerusi Lembaga Pemenang Amanah Yayasan Pahang itu berkata, seiring dengan penjenamaan semula itu juga, kemudahan dan fasiliti pembelajaran di Kolej Ikip akan dilengkapkan.

“Sejumlah RM30 juta diperuntukkan bagi membina serta menambah baik prasarana Kolej Ikip melibatkan bangunan bersepadu akademik dan pusat pelajar yang berkonsepkan Kolej Dalam Tasik di Tanjung Lumpur.

“Pembangunan yang bermula awal depan dijangka siap pada akhir tahun 2017 dan mampu menampung 3,000 pelajar,” katanya.

Adnan berkata, kampus baharu untuk bidang kulinari dan bakeri juga akan dibina di Kubang Buaya pada masa akan datang.

Di samping itu katanya, Kolej Ikip turut akan menawarkan program francais bersama universiti luar negara dari United Kingdom, Australia dan Jordan membabitkan kursus di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

Pada majlis itu, seramai 370 graduan menerima sijil masing-masing yang disampaikan Adnan.

Adnan turut menyampaikan hadiah kecemerlangan Menteri Besar kepada Ahmad Syihabuddin Mohamad Saat.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor